LUAR NEGARA

Bangunan 12 tingkat runtuh di Kenya, tujuh dikhuatiri tertimbus

NAIROBI – Sekurang-kurangnya tujuh orang dikhuatiri tertimbus selepas sebuah bangunan setinggi 12 tingkat yang masih dalam pembinaan runtuh di kawasan Eastleigh, ibu negara Kenya, pada Jumaat.

Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan itu menyebabkan bangunan berkenaan musnah menjadi timbunan runtuhan konkrit, sekali gus mencetuskan operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan kecemasan.

Menteri Dalam Negeri Kenya, Kipchumba Murkomen berkata, tujuh orang dilaporkan hilang selepas kejadian itu, manakala 66 daripada 67 pekerja di tapak pembinaan berjaya menyelamatkan diri tanpa kecederaan.

Seorang pekerja dilaporkan cedera, sementara seorang wanita turut diselamatkan dari bawah runtuhan dan dibawa ke hospital.

“Operasi menyelamat berdepan kesukaran berikutan lokasi bangunan yang dikelilingi struktur tinggi lain, selain kekurangan jentera berat pada peringkat awal,” katanya.

Dalam pada itu, polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai dan mengawal keadaan di sekitar lokasi kejadian.

Gabenor Nairobi, Johnson Sakaja berkata, bangunan itu mempunyai kelulusan pembinaan tetapi tidak memiliki sijil penghunian yang mengesahkan premis selamat untuk diduduki.

“Lantai bawah bangunan berkenaan dilaporkan menempatkan beberapa premis perniagaan ketika struktur di bahagian atas masih dalam pembinaan,” katanya.

Punca kejadian masih belum dipastikan dan siasatan lanjut dijangka meneliti aspek keselamatan serta pematuhan piawaian pembinaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button