BERITA SEMASA

Peguam nafi dua anggota polis terbabit sindiket ‘counter setting’

SEPANG – Peguam yang mewakili dua anggota polis, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin menafikan dakwaan bahawa anak guam mereka terbabit dalam sindiket ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Muhammad Nor Tamrin berkata, spekulasi yang mengaitkan kedua-dua anggota berpangkat rendah itu dengan sindiket berkenaan perlu dihentikan kerana perkara tersebut tidak mempunyai asas berdasarkan pendirian pihak pembelaan.

“Kami juga berharap agar janganlah diteruskan spekulasi yang mengatakan dua orang anggota polis berpangkat rendah ini terlibat dengan sindiket ‘counter setting’ dan sebagainya, kononnya ada satu sindiket yang lebih besar di sebalik semua ini.

“Tidak, itu kami tegaskan bahawa tidak ada perkara tersebut. Sekiranya ada, sila kemukakan laporan kepada pihak berkuasa. Kami bersedia untuk disiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas tamat prosiding di Mahkamah Majistret Sepang, di sini, hari ini,

Sementara itu, Kamal Hisham berkata, salah seorang anggota berkenaan baru tujuh hari bertugas di KLIA, manakala seorang lagi sudah berkhidmat di lokasi itu selama tiga tahun.

“Tempoh perkhidmatan yang singkat bagi anggota pertama menimbulkan persoalan terhadap dakwaan penglibatannya dalam sindiket ‘counter setting’.

“Kalau kita fikir baru tujuh hari, takkanlah dia terlibat dengan ‘counter’. Itu satu benda yang tidak logik,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa urusan di kaunter lazimnya dikendalikan pegawai Kastam dan Imigresen, bukannya anggota polis yang terlibat dalam kes berkenaan.

Mengulas dakwaan berkaitan tindakan mengambil gambar, Kamal Hisham berkata, perkara itu perlu dilihat berdasarkan konteks dan maklumat yang terkandung dalam laporan berkaitan.

Beliau berpandangan, tindakan merakam gambar berkenaan mempunyai kaitan dengan perbuatan yang didakwa dilakukan oleh individu terbabit dan bukannya bukti penglibatan dalam sebarang sindiket.

Muhammad Nor Tamrin menegaskan, perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah dakwaan kekerasan melibatkan seorang pegawai berpangkat tinggi terhadap anggota berpangkat rendah, bukannya spekulasi mengenai kewujudan sindiket.

“”su yang kita nak katakan, apa yang berlaku pada hari ini adalah isu satu perbuatan kekerasan oleh seorang pegawai tinggi kepada anggota pangkat rendah. Itu sahaja.

“Ia bukannya isu sindiket dan sebagainya. Tidak ada kena-mengena dengan perkara-perkara seperti itu,” katanya.

Beliau berharap perkara berkenaan dapat diperjelaskan secara menyeluruh dan menyerahkan kepada proses keadilan untuk menentukan pihak yang benar atau bersalah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penentuan berhubung perkara tersebut perlu dibuat melalui proses yang sewajarnya, bukannya berdasarkan spekulasi.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berdepan dua pertuduhan berkaitan dakwaan mencederakan dua anggota Cawangan Khas, Mohammad Faiz Muhamad Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Driman, di Terminal 1 KLIA pada 28 September lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin sebanyak RM3,000, iaitu RM1,500 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqilah Ahmad Rofaie.

Mohd Shuhaily pula diwakili pasukan sembilan peguam, antaranya Datuk Rosal Azimin Ahmad, Kitson Foong dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button