BERITA SEMASA

Air tiga empangan di Kedah pada paras 40.13 peratus, kesiapsiagaan El Niño perlu dipertingkat – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Paras takungan air di Empangan Pedu, Muda dan Ahning di Kedah yang berada pada 40.13 peratus setakat 14 Oktober lalu memerlukan kesiapsiagaan awal bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas dan kering berpanjangan susulan jangkaan fenomena El Niño 2026/2027.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian berikutan risiko terhadap penanaman padi di Kawasan Muda, yang boleh menjejaskan hasil pengeluaran serta pendapatan pesawah.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tumpuan diberikan kepada persediaan menghadapi kesan El Niño.

“Bila air berkurangan yang terancam bukan sahaja hasil padi tetapi rezeki pesawah dan bekalan makanan kita,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Justeru katanya, pemantauan paras empangan, taburan hujan dan keadaan tanaman perlu diperkukuh, selain pengurusan pelepasan air secara berhemah serta penyelarasan awal antara agensi berkaitan.

Mohamad berkata, unjuran kemerosotan hasil padi yang dibentangkan ketika ini merupakan gambaran senario terburuk dan bukannya kerugian yang sudah berlaku.

“Oleh itu, persediaan perlu dibuat daripada sekarang bagi mengurangkan risiko, melindungi pendapatan pesawah dan memelihara keterjaminan makanan negara,” katanya.

Beliau berkongsi perkara itu menerusi hantaran di media sosial, sambil mengingatkan bahawa kekurangan air bukan sahaja mengancam hasil padi, malah boleh menjejaskan sumber pendapatan pesawah serta bekalan makanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button