POLITIK

PN dibatalkan pendaftaran, AMANAH persoal kemampuan PAS pimpin negara

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mengingatkan PAS supaya membuktikan kemampuan memelihara kepercayaan rakan politik dalam Perikatan Nasional (PN) sebelum meminta mandat rakyat untuk memerintah negara.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, krisis yang melanda PN menimbulkan persoalan serius mengenai keupayaan kepimpinan gabungan itu, meskipun PAS berhasrat mendapatkan mandat rakyat untuk memerintah Malaysia.

Beliau berkata, PAS tidak sepatutnya terlalu ghairah menawarkan harapan untuk memerintah negara sedangkan gabungan yang diterajuinya sendiri berdepan krisis.

“Nak jadi nakhoda negara, tetapi kapal sendiri terumbang-ambing. Nak meminta kepercayaan rakyat, tetapi kepercayaan dalam gabungan sendiri pun menjadi persoalan. Di manakah bukti kemampuan memimpin yang begitu dibanggakan?” katanya dalam kenyataan.

Baca juga : Pembatalan pendaftaran PN peringatan kepada pemimpin parti gabungan – Muhyiddin

Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.

Menurut Mahfuz, PAS perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana parti itu mahu diyakini mampu mengurus negara yang lebih kompleks sekiranya kepercayaan sesama rakan politik sendiri sukar dipelihara.

Beliau berkata, jumlah kerusi yang dimiliki sesebuah parti tidak bermakna parti itu secara automatik paling layak memimpin.

“Banyak kerusi boleh membesarkan cita-cita, tetapi tidak semestinya membesarkan kebijaksanaan,” katanya.

Mahfuz turut mendakwa PAS menggunakan sentimen politik identiti berasaskan agama dan kaum untuk mengukuhkan sokongan apabila berdepan masalah politik.

Katanya, sentimen sedemikian tidak mampu memulihkan hubungan yang retak atau menyelesaikan pertikaian, manakala retorik tidak boleh menggantikan kecekapan kepimpinan.

“Jangan gunakan politik identiti sebagai alat solek untuk menutup kelemahan kepimpinan. Jangan guna agama sebagai payung untuk berlindung daripada hujan kritikan terhadap kegagalan PAS. Rakyat mahu penyelesaian, bukan sekadar persembahan politik,” katanya.

Beliau berkata, PAS juga perlu berhenti menganggap dirinya sentiasa layak memimpin hanya kerana mempunyai kekuatan dalam pilihan raya.

Sebaliknya, katanya, kepimpinan sesebuah gabungan memerlukan kebijaksanaan berkongsi kuasa, menghormati rakan serta membina kepercayaan.

“Jangan minta rakyat menyerahkan kunci negara kepada PAS hanya kerana PAS mahu berkuasa. Buktikan dahulu bahawa PAS mampu menjaga amanah, memelihara kepercayaan dan mengurus rakan sendiri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button