PMX

Pelarasan gaji: Golongan profesion teknikal mesti diberi keutamaan – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pelarasan gaji bagi golongan profesion teknikal dalam perkhidmatan awam akan diberi keutamaan dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Perkara tersebut diumumkan Anwar sebelum merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN2023) di sini, hari ini.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kehadirannya di HPTN2023 itu adalah bagi mengiktiraf peranan golongan profesion teknikal yang sesuai dengan keadaan dan pertumbuhan ekonomi negara sekarang.

“Kedudukan golongan ini dengan sendiri terangkat dan sangat kritikal. Sesuai dengan pengiktirafan itu saya telah beri komitmen iaitu dalam pelarasan gaji peranan profesion teknikal itu harus diberikan tempat sewajarnya.” kata beliau.

Tambah Anwar, beliau meminta agar badan profesional dalam profesion itu supaya mengemukakan input munasabah dalam soal pelarasan gaji menerusi SSPA.

“Jangan minta yang lebih-lebih pula, yang munasabah. Tapi tentunya perlu kita beri perhatian Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sekarang sudah berbeza. Bidang kejuruteraan, bidang teknologi dan IT itu diperlukan sangat di negara ini.

“Tapi pengiktirafan daripada kerajaan? Pelarasan gaji tidak berubah. Itu tidak munasabah,” ujar beliau lagi.

Sebagai rekod, HPTN telah diluluskan Jemaah Menteri pada Oktober 2018 untuk diadakan secara tahunan pada bulan Disember sebagai penghargaan dan pengiktirafan jasa disumbangkan profesion teknikal dalam landskap pembangunan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button