Saya okay sahaja, tak ada apa nak komen – Ismail Lasim
SEREMBAN – “Saya okay sahaja, tak ada apa nak komen”. Itu reaksi ringkas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, susulan teguran terbuka Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang memarahinya berhubung kemelut kedudukan pemerintah negeri itu.
Reaksi berkenaan hadir selepas video yang memaparkan ketegangan antara Tuanku Muhriz dengan Ismail selepas solat Jumaat di Masjid Kariah Beting, Kuala Pilah, tular di media sosial.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Negeri Sembilan Antlers bagi saingan Sepak Takraw League (STL) 2026 di sini, hari ini.
Menerusi rakaman itu, Tuanku Muhriz mempersoalkan tindakan Ismail yang didakwa menghantar surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung keputusan kerajaan negeri berkaitan kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Baginda turut menegaskan tidak mahu menerima menghadap Ismail selagi Menteri Besar itu tidak menarik balik kenyataan berkenaan, selain meminta beliau beredar.
Ismail pula dilihat kekal tenang ketika berdepan teguran itu dan hanya memberikan jawapan ringkas sebelum mengangkat sembah.
Kemelut berkenaan tercetus susulan pertikaian mengenai proklamasi yang mendakwa kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar telah ditamatkan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai proses perlembagaan dan adat istiadat Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Ismail menegaskan kerajaan negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar, sebaliknya membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








