Taobao tingkat pengalaman beli-belah rentas sempadan
Kenal pasti 6 juta produk, 4,000 kedai terpilih
KUALA LUMPUR – Taobao Tmall World (Taobao) mengumumkan peningkatan menyeluruh bagi pengalaman beli-belah rentas sempadannya dengan melancarkan Sistem Penawaran Terpilih Taobao yang disokong teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta pemilihan pakar.
Syarikat tersebut dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu membolehkan pengguna global mengakses secara terus katalog lebih 3 bilion produk, termasuk 6 juta barangan terpilih dan lebih 4,000 kedai jenama asli dari China yang menekankan aspek kualiti, keunikan, daya saing harga dan perkhidmatan.
Langkah sedemikian menandakan peralihan e-dagang rentas sempadan daripada kaedah carian katalog tradisional kepada era baharu membeli-belah yang dipacu oleh penemuan.
Peningkatan itu dilaksanakan susulan perubahan trend pembelian rentas sempadan yang kini beralih daripada pencarian ‘harga rendah’ kepada keutamaan terhadap keunikan dan kualiti.
Menurut data Taobao, semasa Jualan Double 11 pada 2025, bilangan pembeli bernilai tinggi yang berbelanja melebihi RM300 bagi setiap pesanan meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sempena Jualan Double 11, Taobao turut bekerjasama dengan pelakon popular Zhang Linghe untuk memperkenalkan enam pengalaman jenama “Everything and Anything” yang telah diperbaharui, iaitu Kualiti (Quality), Cita Rasa (Taste), Gaya Hidup (Lifestyle), Trend Terkini (Trendy), Pintar (Smart) dan Kejutan (Surprise).
Pengurus Besar Taobao, Ye Tian berkata, peningkatan tahun ini merangkumi pelbagai aspek utama termasuk penambahbaikan ciri dalam aplikasi, antara muka pengguna baharu, serta perkhidmatan logistik rentas sempadan yang diperkemas bagi memenuhi jangkaan pengguna global yang kian berkembang.
“Bagi mempermudah pengalaman membeli-belah, Taobao turut menambah baik rangkaian pembantu AI seperti AI Try-On (cubaan pakaian maya), AI Virtual Makeup, AR Room Placement untuk susun atur perabot, carian suara Voice-Search-by-Hold, serta bakal memperkenalkan lebih 30 Pakar Gaya Hidup AI bagi membantu pengguna memilih produk yang menepati keperluan peribadi,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Sementara itu, dari segi logistik, penyedia perkhidmatan rasmi syarikat itu akan mempertingkat perkhidmatan global menerusi tiga tonggak utama iaitu ‘Jaminan’, ‘Kemudahan’ dan ‘Keyakinan’.
“Kesemua tonggak itu merangkumi jaminan tempoh penghantaran, penjejakan bungkusan dari awal hingga akhir, kadar penghantaran tetap untuk barangan bersaiz besar di 10 pasaran, pampasan bagi kerosakan atau kehilangan bungkusan, serta kemudahan Perkhidmatan Pemulangan Tempatan di 13 pasaran,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







