Guru tuisyen ditahan, disyaki cabul lima pelajar lelaki
KUALA LUMPUR – Seorang guru tuisyen ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki di ibu negara, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di rumah suspek yang turut dijadikan pusat tuisyen.
Menurutnya, polis menerima lima laporan berasingan berhubung kes berkenaan di Balai Polis Bukit Jalil, membabitkan mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan remaja lelaki.
“Laporan polis yang pertama dibuat pada 6 Oktober lalu, diikuti laporan kedua pada 10 Oktober, manakala tiga lagi laporan diterima pada 11 Oktober,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan terperinci termasuk merakam keterangan daripada mangsa dan ahli keluarga bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Semua pihak iaitu ahli keluarga mangsa, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fadil mengesahkan suspek utama sudah ditahan dan permohonan reman terhadapnya diluluskan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








