Fahmi cadang ejen AI kesan persoalan rakyat mengenai bantuan kerajaan
KUALA LUMPUR – Penggunaan ejen kecerdasan buatan (AI) dapat mengenal pasti persoalan yang sering dibangkitkan rakyat mengenai bantuan kerajaan, sekali gus membantu memastikan maklumat berkaitan sampai kepada golongan sasaran.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu dapat membantu kerajaan memahami isu yang dihadapi masyarakat, khususnya apabila maklumat mengenai bantuan dan inisiatif kerajaan tidak sampai kepada golongan sasaran.
“Pemantauan terhadap perbincangan di media sosial perlu dipertingkat bagi mengenal pasti persoalan rakyat serta mencari jalan menyelesaikan masalah yang menghalang mereka daripada menikmati manfaat yang disediakan.
“Kita kena sentiasa memantau, membuka mata dan telinga serta cuba memahami di mana maklumat ini tidak sampai, bagaimana masalah yang dihadapi oleh kelompok tertentu, kumpulan tertentu dan individu tertentu boleh kita bantu untuk selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam siaran langsung program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, hari ini.
Menurutnya, penggunaan ejen AI berpotensi membolehkan kerajaan mengenal pasti soalan yang paling kerap dikemukakan orang ramai, termasuk berkaitan syarat kelayakan dan tatacara permohonan bantuan menerusi Belanjawan 2027.
Hal ini kerana, teknologi itu juga boleh dimanfaatkan untuk memberikan maklum balas secara bersasar kepada individu yang mengemukakan pertanyaan, walaupun mereka berbuat demikian di platform yang bukan saluran rasmi kerajaan.
Sebagai contoh, ejen AI boleh membantu memberikan panduan kepada individu yang ingin mengetahui cara mendapatkan bantuan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) atau Bantuan Awal Persekolahan.
“Alangkah baiknya kalau Kementerian Kewangan, sebagai contoh, mempunyai ejen AI yang dapat diarahkan mencari semua soalan-soalan ini dan berinteraksi dengan pengguna.
“Anda bertanya tentang MITRA, inilah cara untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan. Anda ada persoalan tentang Bantuan Awal Persekolahan, ini maklumat lanjut,” tambahnya.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan dengan pihak pelaksana bagi meneliti kemungkinan memperluas penggunaan teknologi berkenaan dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat kerajaan.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan pendekatan berasaskan teknologi perlu dilengkapi komunikasi secara bersemuka bagi memastikan masyarakat daripada pelbagai latar belakang mendapat maklumat yang tepat dan memahami cara mengakses bantuan.
Kerajaan juga perlu menilai sama ada rakyat benar-benar menikmati manfaat yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, selain mengenal pasti punca sekiranya terdapat golongan yang masih tercicir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








