BERITA SEMASA

Dunia perlu bersatu tamatkan penindasan rakyat Palestin – Anwar

BANGI – Masyarakat antarabangsa perlu memperkukuh kerjasama dan solidariti bagi menamatkan penindasan terhadap rakyat Palestin serta memastikan hak mereka untuk hidup bebas daripada penjajahan terus diperjuangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjuangan membela Palestin tidak seharusnya terbatas kepada kecaman semata-mata, sebaliknya perlu disusuli tindakan berterusan berasaskan prinsip kemanusiaan dan keadilan.

“Kegagalan masyarakat antarabangsa menangani penderitaan rakyat Palestin mencerminkan kelemahan dalam mempertahankan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

“Bagi saya, itu tidak penting. Yang penting adalah mereka manusia dan mereka tidak boleh dikolonisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Sumud Nusantara bersempena Sumud Global Congress 2026 di sini, hari ini.

Anwar yang juga Penaung Perdana Sumud Nusantara berkata, perjuangan menentang kolonialisme dan imperialisme perlu diteruskan bagi memastikan penindasan terhadap rakyat Palestin tidak berlarutan.

Beliau turut menekankan penderitaan rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak yang terpaksa menanggung kesan konflik selama beberapa dekad, perlu mendapat perhatian serius masyarakat antarabangsa.

“Hal ini kerana, semua pihak perlu terus memberikan sokongan kepada perjuangan berkenaan meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran.

“Kita percaya bahawa penderitaan yang terpaksa ditanggung penderitaan selama beberapa dekad menjadi sebab utama kita perlu saling menyokong untuk meneruskan perjuangan ini.

“Walaupun kelihatan sukar, dengan kesedaran yang semakin meningkat di Amerika, Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin, saya percaya, insya-Allah, keadilan akan ditegakkan dan Palestin akan bebas,” tambahnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, peningkatan kesedaran masyarakat antarabangsa perlu dimanfaatkan bagi memperluas sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha membantu rakyat Palestin memerlukan komitmen berterusan kerana tindakan sekecil mana sekalipun mampu menyumbang kepada usaha meringankan penderitaan mereka.

Anwar juga merakamkan penghargaan kepada penganjur dan delegasi antarabangsa yang menyertai gerakan berkenaan, sambil menegaskan kepentingan suara bersama dalam memperjuangkan keadilan dan kebebasan Palestin.

Beliau berharap solidariti merentas negara dapat terus diperkukuh bagi memastikan perjuangan membebaskan Palestin serta mempertahankan Al-Aqsa terus mendapat sokongan masyarakat dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button