Generasi muda perlu berani hadapi realiti, bukan hidup dalam penafian
KUALA LUMPUR – Generasi muda perlu berani berdepan realiti, memiliki kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan serta membina disiplin diri bagi menghadapi masa depan yang semakin mencabar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, anak muda tidak boleh hanya menunggu masa depan tanpa memahami permasalahan yang berlaku pada hari ini kerana keupayaan membentuk masa depan bermula dengan tindakan dalam keadaan semasa.
Menurutnya, terdapat tiga perkara utama yang perlu dijadikan panduan oleh pemimpin muda iaitu keberanian menghadapi realiti, kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan disiplin untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran mendatang.
“Pertama, saudara perlu mempunyai keberanian untuk menghadapi realiti. Jika mahu bergerak ke hadapan, saudara mesti berupaya menghadapi keadaan yang sedang dilalui dan mengenal pasti masalah yang wujud.
“Kita tidak boleh hidup dalam penafian. Keupayaan mengenal pasti masalah hari ini akan melatih minda kita menjadi lebih bersedia untuk menghadapi masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dr Zambry berkata, kebijaksanaan pula diperlukan bagi membolehkan golongan muda melihat sesuatu isu daripada pelbagai sudut dan tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan satu perspektif.
Katanya, pengalaman orang lain, termasuk rakan daripada negara dan latar belakang berbeza, boleh menjadi sumber pembelajaran penting dalam memahami sesuatu cabaran.
Beliau mengambil contoh isu kesihatan mental yang dibincangkan sepanjang program berkenaan, dengan menegaskan bahawa masyarakat perlu mempunyai keupayaan untuk memahami masalah dan mencari pendekatan yang sesuai bagi menanganinya.
Menurutnya, pengalaman masyarakat di negara berbeza juga boleh memberikan pengajaran berharga kerana setiap komuniti berdepan cabaran tersendiri.
“Kadangkala, rakan di sebelah kita boleh memberikan pandangan tentang bagaimana mereka menghadapi sesuatu situasi berdasarkan pengalaman dan kebijaksanaan yang diwarisi daripada masyarakat mereka,” katanya.
Beliau berkata, perkara ketiga ialah disiplin diri, yang perlu dibina sebagai asas untuk membentuk karakter dan mempersiapkan diri menghadapi tanggungjawab kepimpinan.
Dr Zambry berkata, pemimpin bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran, malah mesti berpegang pada nilai serta kompas moral yang jelas dalam menentukan tindakan.
Katanya, pendedahan kepada pemimpin dan pengamal sebenar dalam pelbagai bidang sepanjang iFUTURE turut membantu mahasiswa memahami bahawa kepimpinan memerlukan gabungan asas teori, nilai dan pengalaman praktikal.
Beliau berkata, program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu diwujudkan bagi memberi peluang kepada mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan pemimpin negara, mengemukakan soalan dan membahaskan idea.
Menurutnya, keberanian mahasiswa mengemukakan soalan dalam sesi dialog mencerminkan keyakinan mereka untuk menyuarakan pandangan dan terlibat dalam perbincangan mengenai isu semasa.
Beliau turut berharap program itu diteruskan pada masa hadapan tanpa bergantung kepada individu tertentu kerana matlamat utamanya adalah untuk membangunkan generasi pemimpin yang mampu membawa perubahan kepada negara masing-masing.
“Mahasiswa Malaysia dan antarabangsa yang menyertai program itu diharap membawa pulang bukan sahaja pengetahuan, malah nilai serta pengalaman yang dapat membentuk karakter dan keupayaan kepimpinan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








