Lima rakyat Malaysia ditahan seludup kokain RM3.1 juta di Tokyo
KUALA LUMPUR – Tawaran upah RM8,000 dipercayai mendorong seorang lelaki berusia 24 tahun menyertai kegiatan penyeludupan kokain ke Jepun sebelum dia bersama empat rakyat Malaysia lain ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Sabtu lalu.
Kesemua suspek, termasuk seorang wanita, ditahan selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta) yang disembunyikan di bawah pelapik kasut.
Menurut laporan media Jepun, kegiatan itu terbongkar apabila pegawai kastam mengesyaki seorang daripada suspek memakai kasut dengan tapak terlalu tebal sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan.
Pemeriksaan lanjut menemukan kokain di bawah pelapik kasut dua suspek sebelum tiga lagi individu yang dipercayai tiba bersama mereka turut ditahan.
Laporan TBS News DIG menyebut setiap suspek dipercayai membawa kira-kira satu kilogram kokain, dengan 500 gram disembunyikan di bawah pelapik setiap kasut kiri dan kanan.
Suspek lelaki berusia 24 tahun itu mendakwa telah ditawarkan upah RM8,000 menerusi aplikasi Telegram untuk membawa dadah berkenaan ke luar negara.
Dia turut mendakwa dibekalkan sepasang kasut khas bagi menyembunyikan bahan terlarang itu.
Sementara itu, laporan NHK menyebut empat suspek mengaku terhadap dakwaan ketika disoal siasat, manakala seorang wanita berusia 25 tahun menafikan terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Wanita itu mendakwa tidak mengetahui bungkusan yang dibawanya mengandungi kokain.
Polis Metropolitan Tokyo kini menyiasat kemungkinan kelima-lima suspek direkrut sindiket jenayah berpangkalan di Malaysia bagi menjalankan kegiatan penyeludupan dadah rentas negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








