LUAR NEGARA

11 maut, 27 cedera bas persiaran bertembung trak tunda di Turkiye

ANKARA – Seramai 11 orang maut manakala 27 lagi cedera selepas sebuah bas persiaran bertembung dengan trak tunda sebelum terbalik di lebuh raya di wilayah Manisa, barat Turkiye, pada Ahad.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan berhampiran pintu tol Akhisar di Lebuhraya Gebze-Orhangazi-Izmir ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Bursa menuju Izmir, sebelum meneruskan perjalanan ke Pamukkale di wilayah Denizli.

Pejabat Gabenor Manisa dalam kenyataan memaklumkan pasukan kecemasan, termasuk ambulans, anggota bomba dan polis, dikerahkan ke lokasi sejurus menerima laporan kejadian.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan, dengan seorang daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Menurut laporan media tempatan, bas itu membawa 34 penumpang dan tiga kru, manakala trak tunda berkenaan mempunyai seorang pemandu.

Siasatan awal menunjukkan trak tunda itu memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan bas berkenaan. Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pemandu bas tersebut dilaporkan ditahan polis selepas dibenarkan keluar dari hospital, manakala siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan menentukan tanggungjawab pihak yang terbabit.

Gabenor Manisa, Vahdettin Ozkan, yang melawat lokasi kejadian berkata, operasi menyelamat dan siasatan sedang dijalankan dengan penyelarasan pejabat pendakwa raya.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Mustafa Ciftci berkata, pihaknya memantau perkembangan kejadian itu bersama agensi berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button