MCMC sambut baik peruntukan RM5 bilion JENDELA, perkukuh liputan Internet luar bandar
CYBERJAYA – Peruntukan RM5 bilion bagi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam Belanjawan 2027 akan memperluas liputan Internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), peruntukan itu turut meningkatkan kesalinghubungan di sepanjang 7,000 kilometer jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 kilometer laluan rel di seluruh negara.
“MCMC menyambut baik Belanjawan 2027 yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan dan mempercepat transformasi digital negara demi manfaat rakyat serta pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Selain JENDELA, kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion bagi pemerkasaan ekosistem kesihatan digital negara menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).
MCMC berkata, inisiatif itu akan meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan digital sektor kesihatan, selain menyokong peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), telekesihatan serta penggunaan dron bagi penghantaran ubat.
“Usaha berkenaan dijangka menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Menurut MCMC lagi, peruntukan RM142 juta bagi pemerkasaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan memperkukuh fungsinya sebagai hab komuniti digital melalui penyediaan latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), selain menyokong pembangunan ekonomi serta keusahawanan setempat.
Katanya, pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) turut menjadi antara inisiatif penting bagi meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Langkah itu akan menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif dan mampa,” katanya.
Belanjawan 2027 turut menyediakan akses Wi-Fi di semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam bagi memastikan pelajar mendapat kemudahan Internet yang lebih menyeluruh, sekali gus menyokong pembelajaran digital dan pembangunan bakat masa hadapan.
Selain itu, pembangunan Sovereign AI Cloud dan usaha meningkatkan keselamatan siber negara akan memperkukuh kedaulatan data, menyokong pembangunan AI yang selamat serta meningkatkan daya tahan ekosistem digital negara.
Dalam pada itu, MCMC turut komited memperhebat Kempen Internet Selamat di sekolah seluruh negara, selain membanteras penipuan digital, termasuk menyekat lebih 5.7 bilion panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan.
MCMC berkata, pihaknya komited memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan manfaat nyata kepada rakyat, industri serta negara.
“MCMC yakin pelaburan strategik itu akan terus memacu pembangunan ekonomi digital dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara digital yang berdaya saing,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








