SUKAN

Gallifuoco semakin hampir sarung jersi Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City), Giancarlo Gallifuoco semakin hampir merealisasikan impian menyarung jersi Harimau Malaya apabila proses naturalisasinya kini menunggu kelulusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain kelahiran Australia berusia 32 tahun itu berkongsi perkembangan berkenaan menerusi platform X, dengan memaklumkan dokumen berkaitan sudah dikemukakan kepada FAM oleh peguam yang menguruskan permohonannya.

“Kita sekarang sedang menunggu surat daripada pasukan perundangan FAM untuk kelulusan dan kemudian semuanya selesai. Akhirnya, saya anak Malaysia,” memetik HM online.

Bekas pemain remaja Tottenham Hotspur itu sebelum ini memaklumkan proses naturalisasinya sedang berjalan dan memerlukan beberapa kelulusan sebelum permohonan berkenaan dibawa ke peringkat seterusnya.

Sekiranya diluluskan dan memenuhi semua syarat kelayakan untuk mewakili negara, kehadiran Gallifuoco berpotensi menambah pilihan di bahagian pertahanan Harimau Malaya.

Beliau juga berpeluang bergandingan dengan pertahanan warisan negara, Brad Tapp yang mencuri perhatian menerusi persembahan bersama skuad kebangsaan dalam Piala ASEAN FIFA baru-baru ini.

Gallifuoco membantu KL City menjulang Piala Malaysia pada 2021, sekali gus memiliki pengalaman beraksi dalam saingan bola sepak tempatan.

Selain beliau, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva turut menjadi antara pemain yang mendapat perhatian dalam usaha memperkukuh skuad kebangsaan menerusi proses naturalisasi.

Bagaimanapun, peluang Gallifuoco mewakili Harimau Malaya masih bergantung kepada kelulusan proses berkenaan serta pematuhan syarat kelayakan yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button