BERITA SEMASA

KKDW terima RM12.68 bilion, Zahid faham kekangan kewangan negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan sebanyak RM12.68 bilion menerusi Belanjawan 2027, dengan peningkatan kecil sebanyak 2.27 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memahami kedudukan kewangan negara ketika ini meskipun tambahan peruntukan yang disalurkan kepada kementeriannya adalah kecil.

Beliau bagaimanapun menghargai perhatian yang diberikan kerajaan kepada KKDW dalam pembentangan belanjawan berkenaan.

“Walaupun hanya terdapat sedikit tambahan peruntukan yang diberikan kepada kementerian kami, saya fikir kita memahami kedudukan kewangan negara dan menghargai tumpuan yang diberikan kepada kementerian kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Daripada jumlah RM12.68 bilion itu, sebanyak RM4.85 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM7.833 bilion disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, peruntukan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) meningkat kepada RM8 bilion berbanding RM7.9 bilion sebelum ini.

Katanya, menerusi pelaksanaan TVET 2.0, kementerian akan memberi tumpuan kepada bidang kemahiran berteknologi tinggi, termasuk robotik, serta memperluas penawaran kursus yang mempunyai permintaan dalam pasaran pekerjaan.

Menurutnya, langkah itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri.

Mengulas pengumuman berkaitan gaji minimum, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan yang diumumkan Perdana Menteri itu melibatkan syarikat dengan nilai urus niaga melebihi RM50 juta setahun.

Beliau turut menyambut baik pemberian gaji premium kepada graduan dan individu yang memiliki kelayakan kemahiran, yang disifatkannya sebagai perubahan positif untuk golongan berkenaan.

“Ini merupakan satu perubahan yang pada hemat saya sangat disambut baik oleh para graduan dan juga mereka yang mempunyai kelayakan kemahiran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button