Jerebu: Sekolah di Pulau Pinang beroperasi seperti biasa
GEORGE TOWN – Semua sekolah di Pulau Pinang kekal beroperasi seperti biasa, namun aktiviti luar ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) memaklumkan, langkah itu diambil bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid serta warga pendidikan daripada pendedahan kepada udara tidak sihat.
Menurut JPNPP, pemantauan berterusan dilakukan terhadap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat stesen utama, iaitu Minden, Seberang Jaya, Seberang Perai dan Balik Pulau.
Berdasarkan bacaan pada pukul 9.55 malam, 8 Oktober, purata IPU di negeri itu menunjukkan penurunan sebanyak 4.5 mata kepada 124.5 berbanding 129 sebelumnya.
Dalam pada itu, JPNPP menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengenai kepentingan menjaga keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid dan warga pendidikan susulan keadaan jerebu ketika ini.
JPNPP turut mengingatkan semua institusi pendidikan supaya mengambil tindakan sewajarnya sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi tahap yang ditetapkan dalam garis panduan berkuat kuasa.
Antara langkah yang boleh diambil termasuk mengubah suai, menangguhkan atau membatalkan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko pendedahan murid dan warga pendidikan kepada udara tidak sihat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








