BERITA SEMASA

KPM arah institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 180 ditutup mulai esok

KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 diarahkan ditutup mulai Jumaat.

Ketetapan itu dibuat susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menekankan aspek keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan berikutan keadaan jerebu yang melanda negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, bagi kawasan yang mencatat bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut, institusi pendidikan berkenaan hendaklah ditutup mulai Isnin.

Menurutnya, sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PDPR).

“Dalam tempoh pelaksanaan ini, pihak sekolah hendaklah memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiap­siagaan guru,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawah KPM juga diarahkan melakukan pemantauan berterusan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya bacaan IPU melebihi paras yang ditetapkan.

“KPM akan terus memantau perkembangan dari masa ke masa dan sentiasa mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button