Nazir dakwa penggeledahan SPRM selepas empat tahun sebagai penyalahgunaan kuasa, proses
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin mendakwa, tindakan sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah kediamannya dan kediaman abangnya pada 30 September lalu sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa dan proses.
Menurut Nazir, sepasukan pegawai daripada Bahagian Risikan SPRM Putrajaya hadir di kediamannya kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum menjalankan penggeledahan sehingga sekitar 6.30 petang.
Katanya, pegawai terbabit turut menunjukkan waran sebelum beberapa barangan disita dalam operasi berkenaan.
Nazir mempersoalkan tindakan tersebut kerana mendakwa SPRM sebenarnya sudah menjalankan siasatan berkaitan isu pelaburan Yayasan Bank Rakyat itu sejak 2022.
“Pada 2022, SPRM sudah datang ke pejabat Yayasan Bank Rakyat dan mengambil semua dokumen berkaitan. Saya juga sudah dipanggil dan memberikan penjelasan mengenai perkara ini.
“Jadi saya persoalkan kenapa selepas empat tahun perkara ini dibawa semula dengan cara sebegitu, sedangkan dokumen dan maklumat berkaitan sudah ada,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Lebih mengecewakan, katanya, beliau mendakwa hanya pada hari keempat daripada tempoh tujuh hari reman dirinya disoal mengenai isu Yayasan Bank Rakyat.
Menurutnya, tiga hari pertama tempoh reman tidak digunakan untuk menyoalnya berhubung kes berkenaan.
Beliau mendakwa pada hari kelima, SPRM memohon lanjutan reman dan mahkamah membenarkan tambahan dua hari, namun baki tempoh itu juga didakwa tidak digunakan untuk menjalankan soal siasat berkaitan Yayasan Bank Rakyat.
“Saya tertanya-tanya, kalau tujuh hari reman, kenapa hanya satu hari digunakan untuk bertanya mengenai perkara ini?” katanya.
Nazir berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk disiasat sekiranya terdapat persoalan mengenai pelaburan berkenaan, namun mempersoalkan kaedah dan tempoh tindakan yang diambil.
Beliau turut menegaskan bahawa dirinya bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan yakin dokumen berkaitan dapat menjelaskan kedudukan sebenar pelaburan RM10 juta itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








