Kecewa dengan Jesus, Ronaldo tetap setia bersama Portugal
BARCELONA – Cristiano Ronaldo mengakui kesilapannya meninggalkan kem Portugal dan bersedia menerima sebarang hukuman susulan tindakan itu, sambil memohon maaf kepada rakan sepasukan serta penyokong negara berkenaan.
Dalam kenyataan hampir 2,000 perkataan, pemain berusia 41 tahun itu bagaimanapun menjelaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas kepercayaannya terhadap ketua jurulatih, Jorge Jesus, didakwa runtuh sepenuhnya susulan janji berkaitan peluang beraksi yang tidak ditunaikan.
“Saya akan sentiasa bersedia, seperti yang saya lakukan sehingga hari ini, untuk beraksi dan menang bersama pasukan kebangsaan,” kata Ronaldo menerusi Instagram miliknya hari ini.
Baca juga : Ronaldo tinggalkan kem Portugal selepas tidak disenaraikan lawan Denmark
Ronaldo berkata, dia sedar kedudukannya sebagai kapten pasukan menjadikan tindakannya lebih serius dan mengakui wajar dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal.
“Saya berhutang permohonan maaf kepada rakan sepasukan kerana meninggalkan kem. Walaupun kepercayaan saya terhadap kata-kata ketua jurulatih sudah runtuh sepenuhnya, saya tidak sepatutnya berbuat demikian. Tanggungjawab itu adalah milik saya seorang,” katanya.
Pada masa sama, Ronaldo turut memohon maaf kepada penyokong Portugal, namun menegaskan tindakannya mempunyai kaitan dengan apa yang didakwanya sebagai kegagalan Jesus menunaikan janji.
Menurut Ronaldo, kehadirannya bersama pasukan ketika itu hanya akan memberi kesan buruk kepada pasukan, menyebabkan dia memilih untuk meninggalkan kem.
Jesus tidak menurunkan Ronaldo ketika Portugal bertemu Norway dalam aksi Liga Negara-Negara sebelum memaklumkan bahawa penyerang itu tidak akan berada dalam kesebelasan utama bagi perlawanan seterusnya menentang Denmark.
Ronaldo berkata, Jesus yang dilantik selepas Portugal tersingkir pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia pada awalnya membentangkan perancangan untuk jendela antarabangsa berkenaan.
Katanya, perancangan itu termasuk menurunkannya dalam perlawanan pembukaan dan penutup di laman sendiri, namun ia tidak dilaksanakan ketika Portugal menentang Norway dan Denmark.
Ronaldo berkata, dia menolak cadangan berkenaan kerana tidak mahu memberikan contoh yang kurang baik jika seorang kapten kekal di Portugal ketika rakan sepasukannya perlu beraksi di gelanggang lawan.
Menjelang aksi menentang Norway, Ronaldo mendakwa Jesus kemudian bertanya sama ada dia bersedia beraksi selama 30 minit dan dia bersetuju.
Ronaldo melakukan pemanasan badan sejak separuh masa, tetapi akhirnya tidak diturunkan oleh Jesus.
“Ketua jurulatih gagal menunaikan janjinya kepada saya,” kata Ronaldo, yang juga pemegang rekod penampilan dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal.
Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu berkata, dia kemudian mengadakan perbincangan dengan Jesus dan kedua-duanya bersetuju bahawa pengendali itu akan memohon maaf menerusi sidang media sebelum perlawanan menentang Denmark.
Bagaimanapun, Ronaldo mendakwa perkara yang disampaikan Jesus dalam sidang media berkenaan tidak seperti yang dipersetujui, malah menyifatkan nada jurulatih itu sebagai ‘agresif’ dan sesuatu yang belum pernah dialaminya sebelum ini.
“Itu kali kedua dia gagal menunaikan janjinya. Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kem tanpa menunggu janji yang dimungkiri seterusnya,” katanya.
Ronaldo sekali lagi mengakui tindakannya wajar dihukum dan bersedia menjalani sebarang penggantungan yang diputuskan Persekutuan Bola Sepak Portugal.
“Saya bukan sekadar seorang pemain, saya adalah kapten pasukan dan itu menjadi faktor yang memburukkan keadaan,” katanya.
Portugal bagaimanapun terus mencatat keputusan positif di bawah kendalian Jesus apabila memenangi kesemua empat perlawanan Liga Negara-Negara setakat ini, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir dengan dua perlawanan masih berbaki.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







