BERITA SEMASA

Guru didakwa bocor soalan karangan BM MPT4 ketika peperiksaan berlangsung

KUALA LUMPUR – Seorang guru yang dilantik sebagai pengawas peperiksaan didakwa memuat naik soalan karangan Bahasa Melayu bagi ujian Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) di platform Threads ketika peperiksaan masih berlangsung.

Hantaran yang dipercayai dimuat naik sekitar jam 10 pagi itu kemudian tular dan mencetuskan persoalan dalam kalangan warga pendidik serta ibu bapa berhubung aspek integriti dan kerahsiaan soalan peperiksaan.

threads
Tangkap layar di laman threads

Walaupun hantaran berkenaan dilaporkan telah dipadam, beberapa pengguna media sosial mendakwa mereka sempat mengambil tangkap layar untuk dikemukakan kepada pihak berkaitan bagi tujuan siasatan.

Tindakan itu turut dipersoalkan kerana dikatakan boleh melanggar ketetapan kerahsiaan peperiksaan serta akujanji tugas yang perlu dipatuhi oleh petugas peperiksaan.

Isu berkenaan turut menimbulkan kebimbangan mengenai keadilan kepada murid yang masih belum menduduki kertas berkenaan, khususnya calon berstatus Tidak Hadir (TH) yang dibenarkan mengambil peperiksaan pada hari lain.

Menurut dakwaan yang tular, soalan sama masih digunakan pihak sekolah bagi tujuan tertentu seperti analisis dan intervensi, sekali gus menimbulkan kebimbangan kemungkinan calon yang belum menduduki peperiksaan memperoleh kelebihan sekiranya soalan telah diketahui lebih awal.

Susulan itu, warganet mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan sewajarnya, termasuk meneliti keperluan menyediakan set soalan baharu atau mempertimbangkan peperiksaan semula sekiranya kebocoran berkenaan disahkan.

Mereka turut menggesa siasatan dijalankan terhadap individu terbabit bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran prosedur serta ketetapan berkaitan kerahsiaan peperiksaan.

Bagaimanapun, setakat ini dakwaan berhubung kebocoran soalan dan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi itu perlu disahkan oleh pihak berkuasa atau KPM sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button