
Israel tetap dengan pendirian teruskan perang di Gaza
GAZA – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanhayu tetap dengan pendirian untuk meneruskan perang di Gaza walaupun selepas proses pembebasan tebusan tamat.
Menurutnya, perang tersebut adalah bagi menghapuskan Hamas sehingga ia tidak wujud lagi di Gaza atau mana-mana wilayah lain.
“Pada permulaan perang saya menetapkan tiga matlamat: penghapusan Hamas, pemulangan semua mangsa culik dan memastikan Gaza tidak akan menjadi ancaman kepada Israel lagi.
“Ketiga-tiga matlamat ini tetap sama.
“Pada minggu lalu kami mencapai pencapaian yang sangat hebat iaitu kepulangan berpuluh-puluh mangsa culik kami. Seminggu yang lalu ia mungkin terdengar khayalan, tetapi kami mencapainya.
“Dalam beberapa hari kebelakangan ini saya mendengar satu soalan – adakah Israel akan kembali berperang selepas fasa mengembalikan mangsa culik kita habis? Jadi jawapan saya adalah tegas – ya.
“Tidak mungkin kita tidak akan kembali berjuang sehingga akhir. Ini adalah dasar saya, seluruh Kabinet berdiri di belakangnya, seluruh kerajaan berdiri di belakangnya, askar berdiri di belakangnya, rakyat berdiri di belakangnya dan itulah yang akan kita lakukan,” katanya dalam satu kenyataan di akaun X miliknya hari ini.
Dalam pada itu di New York, Amerika Syarikat (AS) berharap pemberhentian sementara perang di Gaza dilanjutkan.
Perkara tersebut disuarakan wakil tetap AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas Greenfield, yang menyatakan lanjutan pemberhentian perang kini terletak di tangan Hamas.
“Kami berharap gencatan senjata ini boleh dilanjutkan, tetapi seperti mana yang ditekankan dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sebelum ini, semuanya terserah kepada Hamas.
“Israel juga memaklumkan, jika Hamas terus membebaskan 10 tahanan sehari, mereka akan melanjutkan gencatan sehari lagi. Jadi, semuanya terserah kepada Hamas.
“Kami yakin kepada potensi ini, dan kami sedang bekerja keras untuk melanjutkan perjanjian ini dengan matlamat akhir menamatkan perang,” katanya.
Sejak perang bermula 7 Oktober lalu, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan maut Israel kini melebihi 15,000, selain beribu-ribu yang lain masih hilang di bawah runtuhan, kata pihak berkuasa tempatan Gaza pada Isnin lalu.
Katanya, jumlah kematian tersebut termasuk 6,150 kanak-kanak dan 4,000 wanita selain jumlah mayat yang tidak terhitung bertaburan di jalanan.
Tambahnya, terdapat juga kira-kira 7,000 orang hilang di bawah runtuhan, termasuk 4,700 kanak-kanak dan wanita.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








