BERITA SEMASA

C&M FSF jadi panduan lahir tenaga kerja masa depan

KUALA LUMPUR – Kerajaan melancarkan Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) bagi memastikan tenaga kerja negara lebih bersedia menghadapi perubahan pasaran pekerjaan dipacu kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, teknologi baharu dan ekonomi hijau.

Majlis pelancaran kerangka itu disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan di Angkasapuri, di sini hari ini.

C&M FSF diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai rujukan strategik pembangunan bakat sektor komunikasi dan multimedia untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Menurut MCMC, kerangka berkenaan penting bagi menyelaraskan keperluan industri dengan pendidikan serta latihan supaya graduan dan tenaga kerja sedia ada mempunyai kemahiran yang lebih menepati perubahan landskap pekerjaan.

“Ini bukan tentang AI semata-mata, tetapi mengenai sektor-sektor di bawah seliaan MCMC, khususnya penyiaran, telekomunikasi serta pos dan kurier.

“Ia memberi panduan mengenai perkara yang perlu diberi perhatian oleh sektor-sektor ini berkaitan tenaga kerja serta kemungkinan kesan penggunaan AI terhadap penilaian dan perancangan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerangka berkenaan dibangunkan berdasarkan dapatan kajian mengenai impak AI, ekonomi digital dan ekonomi hijau terhadap tenaga kerja Malaysia yang dilaksanakan bersama TalentCorp Malaysia.

Kajian itu mengenal pasti kemahiran, kompetensi dan laluan kerjaya yang diperlukan industri, sekali gus membantu kerajaan merangka pembangunan bakat yang lebih selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan.

Bagi memastikan pelaksanaan C&M FSF lebih berkesan, Future Skills Talent Council (FSTC) turut ditubuhkan di bawah teraju KESUMA dengan kerjasama Kementerian Komunikasi menerusi MCMC.

KPT pula akan memanfaatkan kerangka berkenaan bagi memperkukuh kurikulum, mikrokelayakan dan kompetensi graduan, manakala program latihan, peningkatan kemahiran dan penyesuaian semula kemahiran tenaga kerja akan diselaraskan dengan perubahan teknologi.

Pada majlis sama, kerjasama strategik antara MCMC, HRD Corp, TalentCorp Malaysia dan Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) turut dimeterai bagi menyokong pelaksanaan C&M FSF menerusi latihan berasaskan industri dan pembangunan kemahiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button