MYEG diberi 35 notis, empat sesi libat urus sebelum operasi digantung – Loke
PUTRAJAYA – Sebanyak 35 notis dan empat sesi libat urus diadakan sebelum Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung keseluruhan operasi My E.G. Sdn. Bhd. (MYEG) dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen pemungut JPJ.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan itu diambil selepas kerajaan memberikan banyak peluang kepada syarikat berkenaan untuk menyelesaikan tunggakan kutipan hasil kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan kini akan mengambil tindakan perundangan sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada MYEG dan Zetrix AI Berhad.
“Kita telah memberikan notis kepada mereka, seperti yang saya katakan sebanyak 35 notis telah diberikan. Kita telah sampai ke tahap ini dan terpaksa menggantung keseluruhan operasi. Mereka sepatutnya membayar dengan segera.
“Kita akan merujuk kepada MoF dan agensi yang lain mengenai tindakan seterusnya daripada segi tindakan sivil,” katanya dalam sidang akhbar berhubung penjelasan penggantungan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut JPJ di sini, hari ini.
Loke menegaskan, kerajaan memandang serius sebarang ketidakpatuhan dalam pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab berkaitan wang kerajaan.
Ditanya mengenai tempoh penggantungan perkhidmatan syarikat berkenaan, beliau berkata, penggantungan operasi MYEG akan diteruskan sehingga syarikat berkenaan melunaskan keseluruhan tunggakan kepada kerajaan sebelum MOT mempertimbangkan untuk membuka semula perkhidmatan itu.
Katanya, sebelum ini kerajaan sudah memberikan banyak peluang kepada MYEG untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan, termasuk mengeluarkan banyak notis peringatan dan mengadakan beberapa mesyuarat sejak beberapa bulan lalu.
“Penggantungan itu sehingga mereka membayar keseluruhan tunggakan tersebutlah. Baru kita akan mempertimbangkan sama ada membuka semula (operasi).
“MYEG tak patut ada apa-apa alasan. Sepatutnya mereka mengutip bayaran itu, mereka kena bayarlah. Berulang kali kita dah bagi banyak peluang, kita dah keluarkan banyak notis peringatan, mengadakan berkali-kali mesyuarat sejak beberapa bulan lalu.
“Dan sebab perkhidmatan ini dah lama seperti yang saya katakan sejak tahun 2000, ramai pengguna dan orang awam menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, penggantungan operasi MYEG tidak akan menjejaskan orang awam yang sudah membuat bayaran pembaharuan lesen mahupun saman menerusi platform berkenaan.
“Tidak ada kesan kerana mereka dah bayar, lesen terus diperbaharui. Lesen itu telah pun diperbaharui kepada pengguna. Jadi, pengguna tak ada masalah.
“Tanggungjawab mereka ialah mereka kutip bayaran itu, tetapi lesen diperbaharui serta-merta kepada pengguna dan sepatutnya pembayaran itu dikreditkan ke akaun kerajaan pada hari berikutnya, namun itu tak berlaku daripada segi pembayaran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







