BERITA SEMASA

Glocal Pilgrims Alert bantu bakal jemaah haji, permudah komunikasi di Tanah Suci

KUALA LUMPUR – Persiapan Musim Haji 1448H/2027M kini memasuki fasa penting dengan pengeluaran lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) oleh Lembaga Tabung Haji (TH) kepada agensi pelancongan tempatan yang bertauliah.

Langkah itu bagi memastikan ekosistem perkhidmatan haji negara sentiasa memenuhi piawaian tinggi khususnya dari aspek keselamatan, kebajikan dan pematuhan syariah bagi ribuan jemaah Malaysia yang bakal melangkah ke Tanah Suci.

Seiring dengan peningkatan cabaran pengurusan jemaah dan permodenan infrastruktur di Arab Saudi, agensi-agensi yang dilantik kini mula mengorak langkah menyepadukan pengurusan tradisional bersama inovasi digital demi kelancaran ibadah.

Menyedari keperluan itu, Glocal Travel & Tours Sdn Bhd (Glocal Travel) sebagai agensi penerima lesen PJH Musim Haji 1448H/2027M mengambil langkah ke hadapan dengan memperkenalkan empat pilihan pakej haji beserta aplikasi pengurusan pintar, Glocal Pilgrims Alert.

Ketua Pegawai Eksekutif Glocal Travel, Datuk Mohd Idzham Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, keutamaan pengurusan haji masa kini perlu berteraskan pendekatan holistik yang menyepadukan bimbingan rohani, logistik yang efisien dan sokongan operasi berterusan.

“Untuk Musim Haji 1448H, fokus kami bukan sekadar menawarkan pakej, sebaliknya menyediakan satu pengalaman perjalanan haji yang tersusun daripada persediaan sebelum berangkat, bimbingan ibadah, penginapan, hinggalah pengurusan di Tanah Suci dan fasa Mashair.

“Prinsip kami mudah: jemaah fokus sepenuhnya kepada ibadah, manakala urusan perjalanan kami bantu kendalikan,” katanya pada majlis pelancaran Pakej Elaf Eksklusif, Pullman Clock Tower ECO, Pullman Clock Tower Premium dan Pullman Private yang diadakan di sini hari ini.

travel
Mohd Idzham Mohd Isa

Bagi menangani cabaran komunikasi dan pergerakan di Makkah serta Madinah, pihaknya memperkenalkan aplikasi Glocal Pilgrims Alert yang menyampaikan notifikasi secara ‘real time’ mengenai jadual pergerakan, titik perhimpunan serta makluman penting terus kepada jemaah.

“Teknologi melalui aplikasi ini berfungsi sebagai alat sokongan kepada petugas di lapangan dan tidak akan menbebankan jemaah. Maklumat penting tetap disalurkan melalui saluran mesra pengguna seperti notifikasi ringkas dan WhatsApp,” katanya.

Dari sudut pengurusan fasa kritikal di Mashair, Glocal Travel turut menawarkan Perkhidmatan Mashair Naik Taraf (PMN) yang merangkumi peningkatan fasiliti khemah, ruang solat dan makan yang lebih selesa, kemudahan rehat serta penyelarasan pengangkutan yang lebih efisien.

Beliau berkata, setiap jemaah juga akan menerima bimbingan secara ‘ive’ ketika melaksanakan ibadah tawaf dan saie.

Bagi mengukuhkan bimbingan rohani, barisan pembimbing dan penasihat syariah berpengalaman turut dilantik bagi memimpin jemaah sepanjang perjalanan.

Antaranya termasuk Datuk Dr Ustaz Badli Shah Haji Alauddin selaku Ikon dan Pembimbing Jemaah Haji Glocal 1448H/2027M; Prof Ustaz Tengku Aziz Raja Abdullah sebagai Penasihat Syariah dan Guru Agama Glocal Travel; Ustaz Abdul Fatah Awang (Guru Agama Pengkursus Ibadah Haji Tanah Air dan Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci); Ustaz Muhidin Mokter (Pakar Kaunseling Haji Glocal Travel) serta penglibatan personaliti dakwah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button