Arab Saudi dakwa Houthi serang stesen elektrik Madinah
RIYADH – Arab Saudi mendakwa kumpulan Houthi melancarkan serangan dron terhadap sebuah stesen pengagihan elektrik di Madinah pada 29 September lalu, yang turut membekalkan tenaga kepada Masjid Nabawi.
Jurucakap gabungan diketuai Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki al-Maliki berkata, serangan terhadap Stesen Pengagihan Elektrik Taibah itu berlaku kira-kira pukul 5.11 pagi waktu tempatan.
Menurutnya, siasatan pihak berkuasa termasuk penelitian selepas kejadian serta serpihan dron yang ditemui mengesahkan penglibatan kumpulan Houthi dalam serangan berkenaan.
“Siasatan dan bukti yang dikumpulkan pihak berkuasa berkenaan mengesahkan penglibatan Militia Houthi Pengganas dalam merancang dan melaksanakan tindakan pengganas yang pengecut ini, berdasarkan semakan selepas kejadian serta serpihan dron yang digunakan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, serangan itu menyebabkan sebuah transformer elektrik terpaksa dihentikan operasi, namun tidak menjejaskan keseluruhan rangkaian bekalan elektrik.
Al-Maliki mendakwa kemudahan berkenaan membekalkan tenaga elektrik kepada Masjid Nabawi dan menyifatkan serangan itu sebagai kesinambungan usaha Houthi menyasarkan dua masjid suci.
Bagaimanapun, Houthi sebelum ini menafikan dakwaan melancarkan serangan terhadap lokasi suci di Arab Saudi.
Pada pertengahan September lalu, Riyadh turut mendakwa kumpulan itu melancarkan serangan dron ke arah Makkah, namun dakwaan berkenaan dinafikan Houthi.
Seorang pegawai kanan Houthi pada Khamis sekali lagi menolak sebarang tanggungjawab terhadap serangan ke atas lokasi suci itu, menurut media kumpulan berkenaan.
Sementara itu, Turkiye mengecam serangan berkenaan dan menyatakan sokongan kepada Arab Saudi.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan Houthi terhadap infrastruktur awam” di Madinah, kata Kementerian Luar Turkiye dalam satu kenyataan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








