BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC perkukuh agenda kelestarian menerusi LESTARI, dijangka 5 juta rakyat terima manfaat

KUALA LUMPUR – Rangka kerja strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (Sustainability Framework and Roadmap 2030 – SFR2030), dijangka memberi manfaat kepada lima juta rakyat menerusi pelbagai program impak sosial yang dilaksanakan bersama pemain industri.

Menurut MCMC, melalui LESTARI, MCMC bersama pemain industri akan menggerakkan tindakan yang memberi impak nyata kepada rakyat dan alam sekitar menjelang 2030.

MCMC menjelaskan, inisiatif itu menyokong peralihan sektor komunikasi dan multimedia ke arah aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, di samping memperkukuh ekonomi kitaran melalui pengurangan sisa elektronik, pemanjangan hayat peranti dan peningkatan akses kepada teknologi yang lebih mampu milik.

“Peranti yang masih boleh digunakan akan dibaik pulih dan digunakan semula, sekali gus membantu mengurangkan kos pemilikan peranti serta memperluas akses kepada teknologi, khususnya bagi golongan rentan dan berpendapatan rendah.

“Menjelang 2030, LESTARI menyasarkan 15 juta peranti diurus secara lestari melalui penggunaan semula, naik taraf atau penggantian kepada teknologi yang lebih cekap, serta kitar semula secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : MCMC bantu KKM hantar ubat melalui pos secara percuma kepada pesakit mulai 1 Okt

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, menyempurnakan pelancaran LESTARI di ibu negara hari ini yang menetapkan hala tuju kelestarian sektor telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier menuju 2030.

Menurut MCMC lagi, rangka kerja itu menterjemahkan aspirasi kemampanan negara kepada tindakan di peringkat sektor, selaras dengan Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13, National Energy Transition Roadmap (NETR), komitmen iklim Malaysia serta aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal tahun 2050.

MCMC berkata, LESTARI dibangunkan bersama industri melalui sesi libat urus yang melibatkan 116 peserta daripada 47 organisasi, sekali gus menyediakan hala tuju bersama bagi menggerakkan agenda kelestarian secara lebih tersusun dan bersepadu berlandaskan tiga teras utama.

“Tiga teras utama itu termasuk kelestarian iklim dan alam sekitar yang meliputi kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, tenaga boleh baharu, ekonomi kitaran dan daya tahan infrastruktur.

“Selain itu, ia turut merangkumi impak sosial dan keterangkuman, termasuk keterangkuman, keselamatan, kemahiran dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, MCMC berkata, pelaksanaan LESTARI akan dipantau secara berkala berdasarkan sasaran dan petunjuk yang ditetapkan bersama industri bagi memastikan setiap inisiatif mencapai hasil yang disasarkan.

Pada masa sama, MCMC turut memperkenalkan platform kerjasama industri untuk mengurangkan pelepasan karbon serta memperluas usaha pengumpulan, penggunaan semula dan kitar semula peranti secara lebih tersusun menerusi Net Zero & Circularity Alliance (NZCA).

“Sebagai tanda komitmen awal terhadap agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia, 15 organisasi daripada pelbagai segmen ekosistem digital telah menandatangani ikrar sokongan kepada LESTARI dan NZCA,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button