MCMC mulakan rundingan awam Cadangan Kerangka Pengawalseliaan
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan proses rundingan awam berhubung Cadangan Kerangka Pengawalseliaan yang akan mengawal selia penyimpanan, pemeliharaan dan pendedahan data komunikasi untuk tujuan siasatan jenayah.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan,
langkah tersebut merupakan maklum balas kepada pindaan terkini Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang berkuat kuasa sejak Februari lalu.
Jelas kenyataan itu, peruntukan baharu ini akan memberikan asas perundangan bagi penyimpanan, pemeliharaan dan pendedahan data komunikasi bagi menyokong siasatan jenayah.
“Dalam era penipuan, pemalsuan, buli siber dan gangguan semakin berleluasa dan rumit, adalah amat penting bagi agensi penguatkuasaan undang-undang mendapatkan akses kepada data yang sahih, boleh dipercayai dan tepat bagi menyokong siasatan mereka secara berkesan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, MCMC turut menekankan pentingnya menyeimbangkan keperluan penguatkuasaan dengan perlindungan privasi individu.
“Cadangan Kerangka Pengawalseliaan ini bertujuan membantu siasatan pihak berkuasa, memberi panduan yang jelas kepada syarikat penyedia perkhidmatan dan dalam masa yang sama memastikan privasi orang ramai terus dilindungi melalui peraturan dan proses yang telus,” katanya.
Baca juga : MCMC siasat pengguna TikTok muat naik kandungan jelik melampau terhadap PM
Terdahulu, pada 16 hingga 17 Jun lalu, MCMC telah mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan sebagai sebahagian daripada proses rundingan tersebut.
Pihak berkepentingan itu termasuk Majlis Peguam Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan PIKOM bagi mendapatkan pandangan dan input yang bernilai dalam pembentukan kerangka tersebut.
Tempoh rundingan awam ini dibuka mulai 25 Julai hingga 8 Ogos ini, manakala Kertas Rundingan Awam Cadangan Kerangka Pengawalseliaan untuk Penyimpanan, Pemeliharaan dan Pendedahan Data Komunikasi boleh didapati di pautan ini:
https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








