Debat antirasuah IPG Perlis semarak mesej AMAR
KANGAR – Bakal guru bukan sekadar perlu petah berhujah, malah mesti berani berkata tidak kepada rasuah.
Mesej itu diterapkan menerusi Program Debat Antirasuah Keep Malaysia Clean (KMC) yang menjadi platform membentuk mahasiswa berintegriti dan tegas mempertahankan prinsip.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani berkata, debat bukan sekadar medan menentukan siapa paling petah berhujah, sebaliknya menjadi latihan untuk peserta mempertahankan prinsip serta berani menyanggah perkara yang tidak benar.
“Frasa yang tular di media sosial, ‘Guru, hentikan guru’ membawa makna yang lebih serius terhadap bakal guru dalam menghentikan kitaran rasuah di alam pekerjaan kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Debat Antirasuah KMC, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah IPG Perlis, Dr. Hajah Azizah Sarkowi; Timbalan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Perlis, Mohd Fahmi Hijazi; Penyelaras AMAR IPG Perlis, Roosfauzi Ramley serta Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Perlis, Mohamad Razif Ab Rased.
Program anjuran Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dengan kerjasama SPRM Perlis itu berlangsung pada 27 Ogos dan 1 September 2026, membabitkan 16 mahasiswa yang mewakili empat Jabatan Akademik dan Pengajian Khusus.
Empat jabatan berkenaan ialah Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Jabatan Ilmu Pendidikan (JIP), Jabatan Sains Sosial (JSS) dan Jabatan Bimbingan dan Kaunseling (JBNK).
Peserta turut mengikuti taklimat disampaikan Muhd Naim Zakaria berkaitan konsep KMC yang menekankan keberanian menolak rasuah, ketelusan dalam membuat keputusan, penerimaan hadiah serta tatakelola perolehan yang baik.
Dalam pertandingan itu, JPM muncul juara, diikuti JSS sebagai naib juara, manakala JIP dan JBNK masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Puteri Alya Rosli dan Nadzatul Syafiqah Ab Rashid pula dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














