BERITA SEMASA

MEX, CXS meterai kerjasama strategik perkukuh AI dan pembangunan modal insan

KUALA LUMPUR – MARA Excellent Ventures Sdn Bhd (MEX), anak syarikat MARA Corporation Sdn Bhd bersama CXS Analytics Sdn Bhd (CXS) memeterai kerjasama strategik menerusi usaha sama (JV) bagi memperluas penerapan kecerdasan buatan (AI), analitik data dan penyelesaian pembangunan modal insan. 

Kerjasama itu menggabungkan rangkaian serta keupayaan pelaksanaan MEX dengan kepakaran teknologi, analitik dan AI dimiliki CXS, sekali gus membuka peluang membangunkan penyelesaian yang memberi nilai tambah kepada ekosistem MARA.

Penyelesaian berkenaan turut berpotensi diperluaskan kepada sektor awam, korporat dan organisasi lain.

Antara bidang yang boleh diteroka termasuk penggunaan AI dan analitik bagi pembangunan bakat serta kompetensi, pemadanan latihan dengan keperluan sebenar tenaga kerja, peningkatan produktiviti organisasi dan penyediaan kecerdasan bagi menyokong keputusan pengurusan yang lebih pantas serta berasaskan data.

Ketua Pegawai Operasi MEX, Said Harull Nizam berkata, kerjasama itu selari dengan usaha syarikat memperkukuh keupayaannya dalam menyediakan penyelesaian yang relevan dengan perubahan teknologi dan keperluan organisasi masa kini.

Mex
MARA Excellent Ventures Sdn Bhd (MEX) bersama CXS Analytics Sdn Bhd (CXS) memeterai kerjasama strategik menerusi usaha sama (JV).

“Kerjasama ini bukan sekadar membuka peluang perniagaan baharu kepada MEX, malah memberi ruang kepada kami meneroka bagaimana AI dan analitik boleh dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan modal insan, meningkatkan keupayaan organisasi serta memberi nilai tambah kepada ekosistem MARA.

“Keupayaan ini kemudiannya boleh diperluaskan kepada pasaran yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CXS, Johnathan JS berkata, kerjasama dengan MEX menyediakan platform strategik untuk membawa teknologi dan kepakaran CXS ke skala lebih besar.

“AI seharusnya bukan sekadar teknologi, tetapi menjadi alat untuk membantu organisasi memahami bakat, mengenal pasti jurang kompetensi dan membuat keputusan yang lebih tepat.

“Bersama MEX, kami melihat peluang untuk membawa keupayaan ini kepada ekosistem MARA dan seterusnya kepada organisasi lain yang sedang melalui transformasi digital dan tenaga kerja,” katanya.

Melalui usaha sama berkenaan, MEX dan CXS akan meneroka peluang dalam bidang AI, analitik data, pengurusan bakat dan kompetensi, pembangunan tenaga kerja serta transformasi digital.

Ia termasuk pembangunan penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan organisasi.

CXS merupakan syarikat teknologi dan analitik modal insan yang membangunkan penyelesaian berasaskan data dan AI, dengan pengalaman menyokong ekosistem pembangunan bakat serta kerjaya yang melibatkan lebih 300,000 pengguna.

Kerjasama itu turut membuka ruang kepada MEX untuk memperluas peranannya sebagai rakan strategik dalam penyelesaian teknologi dan modal insan, selain menyokong agenda transformasi dalam ekosistem MARA dan membawa penyelesaian berkenaan ke pasaran lebih luas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button