BERITA SEMASA

Tahanan rumah: Polis belum terima pengesahan rasmi

KUALA LUMPUR – Polis belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menjalani hukuman tahanan dalam rumah di kediamannya di Langgak Duta.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam, berkata penugasan anggota di kawasan itu masih kekal berpandukan perancangan yang diumumkan semalam.

“Tiada penambahan anggota buat masa ini kerana kami belum menerima sebarang maklumat.

“Sekiranya ada perkembangan atau maklumat terkini yang mengesahkan tahanan dalam rumah Datuk Seri Najib akan dilaksanakan di Langgak Duta, kita akan menambah kekuatan anggota,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Ditanya sama ada pihak polis sudah menerima pengesahan berhubung tarikh atau masa pemindahan Najib dari penjara, Anuar Bakri berkata, tiada maklumat diterima setakat ini.

“Belum lagi, pihak saya belum menerima sebarang maklumat,” katanya.

Semalam, Anuar Bakri dilaporkan berkata, sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan berhampiran kediaman Najib di Langgak Duta bermula jam 7 pagi tadi sebagai sebahagian daripada persiapan keselamatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan proses pemindahan dari penjara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberi perkenan pengampunan bersyarat yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan dalam rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada bayaran denda RM50 juta.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button