Pengampunan Najib: ‘Tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau, rasuah’ – PM
PUTRAJAYA – Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjejaskan prinsip negara hukum dan komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkenaan tidak bermakna negara perlu berkompromi dengan amalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa yang boleh merugikan rakyat dan negara.
Beliau menegaskan semua kes yang sedang melalui proses perundangan termasuk yang membabitkan Najib, akan terus berjalan mengikut landasan undang-undang.
“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat.
“Ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, di sini, hari ini.
Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab memberikan pandangan berkaitan implikasi undang-undang, kestabilan negara dan prinsip negara hukum dalam perkara berkenaan.
Katanya, pandangan itu turut mengambil kira nasihat dan panduan yang dikemukakan Peguam Negara sebelum perkara berkenaan dipertimbangkan.
“Namun akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Pada masa sama, beliau menegaskan keputusan berkenaan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai perubahan terhadap pendirian kerajaan dalam menangani kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.
“Perkara sama turut terpakai kepada kes-kes rasuah lain tanpa mengira individu yang terlibat.
“Jadi saya nak tegaskan, semua kes-kes sama ada yang terlibat kes Datuk Seri Najib yang sedang berjalan harus berjalan ikut landasan. Begitu juga kes-kes lain dalam soal rasuah,” katanya.
BACA JUGA:
Najib terima pengampunan bersyarat, jalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 2028
Anwar berkata negara perlu terus berusaha membanteras budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi memastikan integriti institusi serta keyakinan rakyat terus dipelihara.
“Negara ini mesti diselamatkan dan kita perlu ketegasan dan dukungan semua rakyat dalam menentukan ini negara hukum.
“Negara ini tidak lagi anggap ringan apa-apa salah laku ataupun salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pemimpin atau mana-mana rakyat. Ini pendirian kita,” katanya.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antaranya kepada pembayaran denda RM50 juta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








