Bomba selamatkan 19 pendaki terperangkap kepala air di Lata Debu
BALING – Seramai 19 pendaki terdiri daripada sembilan wanita dan 10 lelaki berjaya diselamatkan bomba selepas terperangkap akibat kepala air ketika mereka menuruni kawasan Lata Debu, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.11 petang.
Menurutnya, seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi sebelum mereka terpaksa mendaki sejauh kira-kira dua kilometer untuk sampai ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati sembilan wanita dan 10 lelaki berusia antara 20 hingga 25 tahun dipercayai terperangkap akibat kepala air di lata berkenaan.
“Ketika kejadian, mereka dipercayai sedang turun dari gunung sebelum terperangkap selepas berlaku kepala air,” katanya dalam kenyataan.
Zulkhairi berkata, operasi menyelamat dilakukan menggunakan kaedah menyeberangi sungai dengan bantuan tali bagi membawa mangsa seorang demi seorang ke lokasi yang selamat.
“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan operasi mengambil masa hampir empat jam berikutan beberapa cabaran termasuk permukaan batu yang licin serta arus sungai yang deras.
“Kepala air berlaku susulan hujan lebat yang turun selama hampir dua jam di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa dipercayai bukan penduduk dari daerah Baling.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







