Itu sajian minum petang, bukannya hidangan utama – Jabatan Kesihatan negeri jawab isu makanan doktor on-call
BUKIT MERTAJAM – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menjelaskan bahawa hidangan yang tular di media sosial berkaitan penyediaan makanan kepada pegawai perubatan bertugas atas panggilan (on-call) di Hospital Bukit Mertajam (HBM) merupakan sajian minum petang dan bukannya hidangan utama.
Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Zulhizzam Abdullah, berkata pihaknya bersama HBM mengambil maklum serta menghargai keprihatinan dan maklum balas orang ramai berhubung perkara itu.
Menurutnya, sajian berkenaan adalah sebahagian daripada empat hidangan yang disediakan sepanjang hari, iaitu sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
“Keseluruhan menu dirancang oleh Jabatan Dietetik dan Sajian HBM serta dikendalikan oleh Pegawai Dietetik dan Penolong Pegawai Penyediaan Makanan berdasarkan Manual Diet Hospital, Perkhidmatan Dietetik dan Sajian KKM.
“Empat hidangan sehari itu dianggarkan membekalkan jumlah tenaga antara 1,500 hingga 1,800 kilokalori (kcal) sehari,” katanya dalam kenyataan.
JKNPP berkata pihaknya memahami gambar hidangan berkenaan mungkin menimbulkan persepsi berbeza apabila dilihat tanpa konteks keseluruhan penyediaan makanan.
Sehubungan itu, katanya, JKNPP dan HBM menghargai setiap pandangan yang diberikan dan akan terus meneliti ruang penambahbaikan bagi memastikan penyediaan makanan dilaksanakan mengikut dasar serta kebajikan pegawai yang bertugas sentiasa diberi perhatian.
“Penyediaan makanan akan terus dilaksanakan selaras dengan pekeliling yang berkuat kuasa semasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








