BERITA SEMASA

Jenazah Dr Ainul Baraah selamat dikebumikan

KOTA BHARU – Jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, yang maut dalam nahas helikopter Flying Doctor Service (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak, Selasa lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Kampung Baung, di sini hari ini.

Upacara pengebumian anak keempat daripada lima beradik itu selesai kira-kira pukul 2.20 petang dengan dihadiri lebih 200 ahli keluarga, sanak saudara, jiran serta penduduk kampung.

Sebelum itu, solat jenazah Allahyarham disempurnakan di Masjid Al-Karamah, Kampung Baung selepas solat Zuhur dengan kehadiran lebih 1,000 ahli keluarga, saudara mara dan penduduk.

Solat jenazah tersebut diimamkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

solat jenazah
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengimam solat jenazah Dr Ainul Baraah.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud.

Dr Ainul Baraah merupakan antara lima mangsa yang maut selepas helikopter BO-105 yang membawa mereka terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Marudi, Sarawak, Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, turut terkorban juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah sebelum ini memaklumkan hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Miri mendapati punca kematian kesemua mangsa adalah akibat kecederaan melecur teruk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button