Permohonan pengampunan Najib ditangguhkan
KUALA LUMPUR – Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.
Perkara itu disahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Dalam mesyuarat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan membebaskan 65 banduan pada hari ini.
Menurut kenyataan itu, semua banduan bukan warganegara hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkenaan melibatkan tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta dipengerusikan Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Lembaga Pengampunan dilaporkan memulakan mesyuarat pada 8.30 pagi tadi.
Sebagai rekod, Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat kali ke-61 pada 29 Januari 2024 turut mempertimbangkan permohonan Najib.
Urus Setia Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024 mengumumkan hukuman penjara terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








