JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas rugi RM15,140 terpedaya pelaburan tidak wujud

TANJUNG MALIM – Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun kerugian RM15,140 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan RM123,120.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Khalid Mohamad berkata, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan berkenaan di Facebook sebelum berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, suspek menggunakan nama syarikat Phillip Wealth Planner Sdn Bhd bagi meyakinkan mangsa untuk menyertai pelaburan berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi berjumlah RM15,140 ke akaun bank yang diberikan suspek.

“Selepas itu, mangsa dimaklumkan sejumlah RM123,120 sudah dipindahkan ke akaunnya, namun wang tersebut tidak diterima,” katanya dalam kenyataan.

Khalid berkata, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan RM7,000 atas alasan ‘perlindungan keselamatan bank’.

Bagaimanapun, mangsa tidak meneruskan pembayaran tersebut sebelum membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang dipromosikan menerusi media sosial dan membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.

Katanya, semakan nombor akaun bank boleh dilakukan menerusi portal Semak Mule, manakala mangsa penipuan kewangan dalam talian boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button