JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita dipercayai cuba samun ibu saudara direman 5 hari

BATU PAHAT – Seorang wanita direman lima hari kerana disyaki mencederakan ibu saudaranya menggunakan kayu golf dalam kejadian dipercayai cubaan samun, semalam.

Perintah reman ke atas suspek berusia 28 tahun yang bermula hari ini dikeluarkan Majistret, Aimi Nawwar Mohamad Othman, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Menurut BH Online yang memetik laporan polis, kejadian berlaku pukul 3.10 petang semalam ketika mangsa yang berusia 71 tahun sedang bersendirian di rumahnya.

Suspek kemudiannya memasuki rumah dan bertindak memukul wanita bergelar datin itu menggunakan kayu golf milik arwah suami wanita itu di kepala dan kedua-dua pergelangan tangan hingga cedera.

Mangsa kemudiannya bertindak menjerit meminta pertolongan jiran yang menyebabkan suspek melarikan diri sambil membawa kayu golf berkenaan.

Jiran mangsa kemudian bergegas ke rumah mangsa sebelum mendapati wanita itu dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghubungi polis.

Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan aggota Jabatan Siasatan Jenayah Polis Batu Pahat berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah rumah dekat Parit Raja untuk membantu siasatan.

Polis turut merampas kayu golf yang digunakan untuk menyerang mangsa. Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan ditahan dalam wad untuk pemeriksaan pakar berikutan kecederaan di kepala, muka, bahu dan pergelangan tangan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button