Kad UNHCR bukan ‘lesen’ langgar Akta Imigresen
Masih boleh boleh diambil tindakan seperti PATI sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa warga Rohingya bukan Pendatang Asing Tanpa lzin (PATI) seperti dilaporkan oleh sebuah portal, semalam.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyatan hari ini, pelarian yang memiliki kad UNHCR yang sah masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan boleh diambil tindakan seperti PATI sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah.
Berdasarkan peruntukan sama, majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran yang sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
“Pengecualian hanya melibatkan dua kesalahan di bawah Akta Imigresen, iaitu kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa.
“Pengecualian terhadap kedua-dua kesalahan ini tidak bermaksud pemegang kad UNHCR dikecualikan daripada pematuhan terhadap peruntukan lain di bawah Akta Imigresen,” kata Zakaria dalam kenyatan tersebut, sebentar tadi.
Beliau kemudiannya berkata, pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan berdasarkan dasar Kerajaan yang diselaraskan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka.
Selain itu, ia turut dipantau Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
”Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Imigresen dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka di negara ini menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
”Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan Kerajaan mempunyai data yang lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia,” katanya lagi.
Beliau menambah, sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian adalah tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh MKN melalui jawatankuasa Kabinet berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya kekal komited melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen secara tegas dan berlandaskan undang-undang serta dasar Kerajaan yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








