Legenda bola sepak negara Abdah Alif sah berkahwin pada usia 72 tahun
KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak negara, Datuk Abdah Alif, 72, sah menamatkan zaman bujang selepas mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya pada 27 Ogos lalu.
Berita perkahwinan itu disahkan rakan beliau yang juga Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menerusi hantaran di Facebook.
“Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada sahabat saya, Datuk Abdah yang telah menamatkan zaman bujangnya dengan pasangannya.
“Moga Allah SWT mengurniakan sakinah, mawaddah dan rahmah pada rumah tangga yang dibina,” katanya.
Terdahulu, tular sekeping gambar memaparkan Abdah bersama seorang wanita yang dipercayai pasangannya, dengan kedua-duanya dilihat mengenakan pakaian sedondon berwarna putih.

Perkongsian mengenai perkahwinan itu kemudian mendapat perhatian netizen yang rata-rata menitipkan ucapan tahniah dan mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan.
Abdah antara nama yang pernah mewarnai arena bola sepak negara dan dikenali sebagai salah seorang legenda sukan tanah air.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai antara pemain berbakat besar ketika itu, malah namanya terpahat dalam sejarah bola sepak negara selepas menjadi sebahagian daripada skuad yang berjaya melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980.
Skuad kebangsaan ketika itu menampilkan barisan pemain hebat seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir Ismail dan beberapa lagi, selain Abdah yang turut memainkan peranan penting dalam kempen kelayakan.
Malaysia mencipta sejarah apabila menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan penentuan untuk mengesahkan tiket ke Olimpik Moscow.
Namun, impian Abdah dan rakan-rakan sepasukan untuk beraksi di pentas Olimpik tidak kesampaian selepas Malaysia mengambil keputusan memboikot temasya berkenaan sebagai tanda bantahan terhadap tindakan Kesatuan Soviet Union menceroboh Afghanistan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








