Uncle Roger akhiri zaman bujang
CYBERJAYA – Selebriti Uncle Roger menamatkan zaman bujangnya apabila beliau mendirikan rumah tangga dengan sahabat baiknya, Sabrina Ahmed dalam satu majlis perkahwinan mewah selama tiga hari di Sintra, Portugal, Julai lalu.
Majlis perkahwinan Uncle Roger atau nama sebenarnya Nigel Ng, diraikan dengan gabungan tradisi Cina, Bengali dan Barat, menurut portal Vogue.
Antara acara yang diadakan termasuk pelayaran matahari terbenam, majlis sangeet, upacara minum teh dan resepsi besar-besaran.
“Kami melihat diri kami terpantul dalam landskap estetik Portugal. Terdapat anyaman elegan pengaruh Cina, Islam dan India — terutama sekali pada jubin biru-putih ikonik azulejos, yang coraknya diinspirasikan daripada porselin Cina serta menggemakan motif jubin Rajasthan dan Moor,” kata Sabrina, seorang peguam kelahiran Miami, Amerika Syarikat mengenai pemilihan destinasi perkahwinan mereka.
Pasangan itu mengenakan empat persalinan bermakna sepanjang majlis, dengan pakaian dan barang kemas mereka digunakan untuk melambangkan warisan serta kisah cinta mereka.
Percintaan mereka bermula pada tahun 2022, ketika Sabrina, seorang peguam korporat untuk syarikat pemaju hartanah resort mewah di Miami, menghadiri salah satu pameran hartanah syarikat berkenaan di mana Nigel membuat persembahan.
“(Rakan saya) menggambarkan Nigel sebagai lelaki yang ‘buat lawak pasal nasi’, yang pada awalnya tidak begitu menarik. Tetapi selepas saya mula menonton rancangan beliau, saya sedar dia memang kelakar, dan di sebalik kemeja oren itu, sebenarnya sangat comel,” katanya ketika mengimbas kembali detik pertemuan mereka.
Walaupun Sabrina ketika itu berdepan masalah kesihatan keluarga, takdir menemukan mereka kembali apabila Nigel muncul sebagai salah satu profil pertama dalam aplikasi janji temu yang disertainya.
Pelawak itu, yang segera tertarik dengan “keanggunan dan kecantikan” Sabrina, menawarkan untuk menerbangkannya ke Boston untuk bertemu.
“Kami bertemu di Lapangan Terbang Boston pada 11 November 2022 di Terminal 3, apabila penerbangan kami, yang asalnya dijadualkan berbeza beberapa jam, akhirnya mendarat tepat pukul 3 petang. Semuanya terasa ditakdirkan dan begitu mudah. Saya penuh debaran minggu itu, dan apabila akhirnya melihatnya, dia lebih menawan secara langsung dan sangat senang diajak berbual,” kata Ng.
Menjelang Mac 2023, Nigel yakin bahawa Sabrina adalah pilihan hatinya.
Dia mengagumi sifat berdikari Sabrina, manakala Sabrina menghargai kesetiaan Ng terhadap keluarga. Pasangan itu kemudian berpindah ke London dan setahun kemudian, Ng melamar di bawah pohon sakura di Tokyo, satu isyarat yang mencerminkan kecintaan Sabrina terhadap bunga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






