BERITA SEMASA

PKD, NADI perlu diselaras demi mudahkan urusan rakyat – Ahmad Zahid

CYBERJAYA – Rakyat tidak lagi mahu dibebankan dengan persoalan sesuatu perkhidmatan itu berada di bawah kementerian, jabatan atau agensi mana, sebaliknya hanya mahu tahu urusan mereka dapat diselesaikan dengan mudah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyusun sumber, menyatukan kekuatan dan memastikan perkhidmatan sampai kepada kumpulan sasaran tanpa rakyat dipaksa memahami sempadan pentadbiran kerajaan.

“Hari ini, persoalan rakyat sebenarnya lebih mudah dan lebih langsung. Mereka hanya mahu tahu adakah urusan mereka telah selesai, bila boleh selesai dan bagaimana mahu diselesaikan dalam bahasa rojak, bahasa digital anak-anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kementerian Komunikasi di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kekuatan PKD dan NADI perlu diselaraskan kerana kedua-duanya mempunyai kumpulan sasaran yang sama serta telah lama dekat dengan komuniti.

Katanya, persoalan utama bukan lagi siapa melakukan apa secara berasingan, sebaliknya bagaimana kekuatan kedua-dua platform itu dapat digabungkan supaya rakyat menerima perkhidmatan lebih baik dan peluang lebih luas.

“Mereka jangan dikelirukan. Jika mereka keliru, akan berlaku ‘kelirurisme’ di kalangan mereka,” katanya sambil menambah PKD dan NADI perlu menjadi penghubung rakyat kepada teknologi dan peluang digital, selain menghubungkan mereka dengan kemahiran, pekerjaan, pembiayaan dan pasaran.

Beliau berkata, PKD telah melaksanakan 29,000 program yang memberi manfaat kepada 746,000 penduduk luar bandar dalam tempoh lima tahun mutakhir, manakala NADI mempunyai 1,099 pusat di seluruh negara dengan hampir atau telah mencapai dua juta pengguna.

Menurutnya, penyelarasan itu penting bagi mengurangkan pertindihan, mengoptimumkan sumber dan memperluaskan manfaat kepada rakyat, selain menggunakan kemudahan sedia ada tanpa perlu membina baharu jika masih boleh diperkasakan.

“Jangan tambah lapisan pentadbiran jika proses boleh dipermudahkan. Saya mahu kita bergerak daripada dua platform kepada suatu ekosistem komuniti yang lebih tersusun dan mudah dicapai. Integration must make things simpler, not more complicated,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, matlamat kerjasama itu bukan sekadar menyediakan internet atau memenuhi kalendar dengan program, tetapi membuka laluan kepada pekerjaan, perniagaan dan peningkatan pendapatan.

Katanya, teknologi telah mengubah geografi peluang apabila anak muda di desa boleh bekerja secara dalam talian dengan syarikat di bandar, manakala usahawan boleh menjual produk tanpa bergantung kepada lokasi.

“Kita tidak boleh lagi melihat penghijrahan anak muda ke bandar sebagai satu-satunya jalan untuk mereka memilih masa depan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button