Enam kawasan Sarawak catat IPU sangat tidak sihat
PUTRAJAYA – Enam kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat, dengan IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 287 setakat pukul 1 tengah hari tadi.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, lima kawasan lain yang turut merekodkan bacaan sangat tidak sihat ialah Kuching (267), Sri Aman (251), Samarahan (242), Samalaju (202) dan Bintulu (201).
“Secara keseluruhannya, sebanyak 25 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, manakala 26 kawasan berada pada tahap sederhana manakala 11 lagi kawasan mencatatkan kualiti udara baik.
“Keadaan itu berlaku susulan cuaca kering berterusan di sebahagian rantau Selatan ASEAN, dengan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 4 September mengesan 139 titik panas di Kalimantan, 138 di Sumatera dan 16 di Malaysia,” kata JAS dalam kenyataan tersebut.
Jelas JAS lagi, daripada 16 titik panas di Malaysia itu, lima dikesan di Sabah, sembilan di Sarawak dan dua di Terengganu.
ASMC turut melaporkan, jerebu sederhana hingga tebal bergerak ke arah timur laut dari Kalimantan ke beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Brunei, selain kepulan asap sederhana hingga tebal di Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.
JAS berkata, buat mas aini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) sedang memantau rapat situasi jerebu di seluruh negeri itu, khususnya bacaan IPU di Serian.
“Pemantauan tersebut meliputi status kualiti udara, keadaan cuaca, titik panas dan pergerakan jerebu bagi menilai perkembangan situasi serta memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.” kata kenyataan itu lagi.
JAS turut menyediakan laporan trend kualiti udara di Serian setiap jam kepada SDMC, selain mempertingkat pemantauan dan rondaan di kawasan berisiko termasuk hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian dan perladangan serta kawasan industri.
Sebarang sumber pembakaran terbuka atau pencemaran yang dikenal pasti akan disiasat dan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Sementara itu, JAS turut mengingatkan pihak industri supaya mengurangkan pelepasan udara daripada punca utama bagi kawasan yang mencatatkan IPU melebihi 300.
“Mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), antara tindakan yang boleh dilaksanakan termasuk pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, penghentian aktiviti luar bilik darjah apabila IPU melebihi 100 serta penutupan sekolah, tadika dan taska apabila IPU melebihi 200,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, JAS menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering serta kualiti udara berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.
Kesalahan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Orang ramai boleh melaporkan kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







