Politik

RoS terima resolusi PAU tiada pertandingan jawatan ‘top 2’ UMNO – Zahid Hamidi

GEORGETOWN – Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menerima resolusi yang dibuat oleh UMNO bahawa tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mana RoS sudah meluluskan usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Katanya, perkembangan terbaru itu diterima menerusi surat daripada KDN yang diterima UMNO hari ini.

“Surat daripada KDN yang bertarikh semalam itu mengesahkan RoS sudah menerima usul yang diluluskan PAU baru-baru ini adalah sah.

“Susulan surat yang dikeluarkan itu, hanya jawatan Naib Presiden sehingga ke ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan jawatan pada peringkat sayap saja yang akan dipertandingkan.

“Jadi, bertandinglah dengan baik. Insya-Allah saya akan terus pergi ke setiap negeri sebagai komitmen untuk bersama calon yang bertanding,” katanya memetik laporan BH Online.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Memperkenalkan Calon UMNO Pulau Pinang di sini, malam ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Show More

Related Articles

Back to top button