Siasatan juruterbang cuba seludup dadah, polis buat tangkapan baharu
PASIR PUTEH – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat beberapa tangkapan baharu bagi membantu siasatan kes juruterbang Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah bernilai RM45 juta, bulan lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan pantas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membawa kepada beberapa tangkapan baharu dalam kes berkenaan.
“Jabatan itu juga bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan projek Ibu Pejabat Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali, di sini hari ini.
Pada Julai lalu, seorang juruterbang Malaysia berusia 39 tahun ditahan di Terminal Ketibaan Antarabangsa 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan penerbangan MH727.
Juruterbang itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam waktu tempatan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya melalui imbasan sinar-X sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan selepas dia mengambil bagasi berkenaan.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi berkenaan, selain empat gram methamphetamine dalam beg tangannya. Keseluruhan dadah itu dianggarkan bernilai RM45 juta.
Menurut polis Indonesia, juruterbang itu didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah berkenaan ke Jakarta sebelum ia diambil oleh seorang lagi individu di sebuah hotel.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








