‘Madu Atau Racun’: MIG mohon maaf, tiada niat cetus kontroversi
KUALA LUMPUR – MIG Production House menegaskan pihaknya tidak pernah berniat untuk mencetuskan kontroversi menerusi drama bersiri Madu Atau Racun yang kini menjadi perhatian susulan dakwaan membabitkan babak berunsur hubungan sejenis.
Dalam satu kenyataan media yang dimuat naik menerusi Instagram, MIG berkata pihaknya mengambil maklum mengenai isu yang sedang tular, selain terbuka menerima setiap teguran yang dikemukakan pelbagai pihak terhadap karya berkenaan.
“Kepada seluruh penonton, peminat dan semua pihak yang memberikan sokongan terhadap drama Madu atau Racun, kami ambil maklum terhadap isu yang sedang tular dan menyentuh sensitiviti agama serta masyarakat dengan babak yang dilihat agak keterlaluan untuk ditonton secara umum.
“Kami memohon maaf dan menghormati pandangan semua pihak. Kami akan memperbaiki karya kami akan datang dan seterusnya mengambil teguran ini sebagai satu pengajaran besar,” menurut kenyataan itu.
MIG pada masa sama menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang niat untuk menyentuh atau memperlekehkan mana-mana pihak, menerusi drama berkenaan.
“Kami ingin menegaskan bahawa kami tiada niat sama sekali untuk menyentuh, memperlekehkan atau menimbulkan sebarang kontroversi dengan sengaja,” katanya.
Kontroversi berkenaan tercetus sejak beberapa hari lalu susulan tayangan drama bersiri 12 episod arahan Eyra Rahman itu di platform iQIYI, khususnya melalui babak yang didakwa mempunyai unsur hubungan sejenis.
Drama yang ketika ini baru memasuki episod keempat itu turut mendapat perhatian dan maklum balas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau sebelum ini menyatakan pendirian menolak penayangan Madu Atau Racun yang didakwa menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, selain melahirkan rasa kesal terhadap tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
Susulan perkembangan itu, satu pertemuan turut diadakan membabitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), wakil MIG, iQIYI, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta persatuan berkaitan bagi membincangkan isu yang tercetus susulan penayangan drama berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



