JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tembak tayar pikap, suspek curi kabel 37 rekod jenayah ditahan

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan seorang suspek curi kabel yang mempunyai 37 rekod jenayah lampau selepas pikap dinaikinya terbabas dan merempuh sebuah kenderaan lain ketika dikejar kira-kira 30 minit di sekitar Sungai Besi, di sini hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Peronda Lebuhraya Bukit Aman mengesan sebuah kenderaan jenis Ford Ranger dalam keadaan mencurigakan dinaiki dua individu di Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Beliau berkata, polis kemudian mengarahkan suspek supaya berhenti untuk pemeriksaan, namun suspek terus memecut laju bagi melarikan diri.

“Polis mengejar suspek bermula dari Plaza Tol Awan Besar arah Klang (Barat) sehingga ke Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling, Kuala Lumpur. Ketika kejadian, beberapa das tembakan dilepaskan ke bahagian tayar kenderaan suspek.

“Selepas mengejar kira-kira 30 minit, kenderaan suspek berhenti di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi. Suspek tetap tidak memberikan kerjasama malah cuba melanggar anggota bertugas dan memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek,” katanya.

Fadil berkata, kenderaan suspek kemudian hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta jenis Mazda di Jalan Hang Tuah 4.

“Selepas kenderaan berhenti, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan manakala seorang lagi suspek lelaki yang juga pemandu berjaya melarikan diri.

“​Pemeriksaan menemukan pelbagai barang dan alatan bagi tujuan mencuri kabel dan sejumlah kabel disyaki dicuri,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri, manakala permohonan reman suspek yang ditahan akan dibuat esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Semakan mendapati suspek yang ditahan mempunyai 37 rekod jenayah lampau malah berada dalam senarai sebagai orang dikehendaki,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menerusi talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran anda.

Terdahulu, beberapa gambar dan video tular di media sosial memaparkan sebuah Ford Ranger berwarna hijau terbabas dan dikepung pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button