BERITA SEMASA

Malaysia mohon kebenaran Nepal gerakkan SMART bantu misi SAR

KUALA LUMPUR – Malaysia telah memohon kebenaran Kerajaan Nepal untuk mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir di negara itu.

Perkara itu disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Nepal, Shisir Khanal, hari ini.

“Perbincangan tertumpu kepada perkembangan terkini operasi SAR, khususnya usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal tempoh hari,” katanya dalam hantaran di Facebook, petang tadi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dalam menghadapi situasi tersebut.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, Kerajaan MADANI memutuskan untuk menghantar SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan bencana banjir yang melanda negara itu.

Anwar berkata, SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.

Selain itu, Malaysia akan menyalurkan sumbangan sebanyak US$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.

Kementerian Luar berkata, sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku pada 26 Ogos.

Sementara itu, Anadolu Ajansi melaporkan angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang di sempadan Nepal-China meningkat kepada sekurang-kurangnya 919 orang, manakala hampir 4,800 lagi dilaporkan hilang, termasuk 853 warga asing, menurut pihak berkuasa pada Isnin.

Enam hari selepas bencana itu berlaku, SAR masih diteruskan di kawasan terjejas, dengan pihak berkuasa turut berusaha untuk sampai kepada pekerja yang terkandas di beberapa projek hidroelektrik. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button