Golongan M40 tidak pernah diabai, dipinggirkan kerajaan – PM
PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk tidak meminggirkan golongan M40, sekali gus menepis kebimbangan kelompok pendapatan menengah itu terlepas daripada perhatian dasar kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai langkah fiskal telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan M40 terpelihara, termasuk penstrukturan semula cukai dan pengekalan bantuan langsung persekolahan.
“Ada kebimbangan tentang nasib M40, saya jelaskan, sejak tahun 2023 kita telah menurunkan kadar cukai pendapatan dua peratus untuk manfaat M40. Ini menyebabkan kita kehilangan hasil RM1 bilion termasuk peningkatan gaji penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Baca juga : PM umum peruntukan selenggara sekolah naik kepada RM1.5 bilion, kerja pembaikan mula bulan depan
Beliau turut menambah bahawa Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 terus disalurkan kepada semua murid tanpa mengira kategori pendapatan ibu bapa.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan turut memberi pertimbangan terhadap pelbagai rayuan supaya bantuan termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang sebelum ini diberikan sekali ditambah kepada dua kali, malah permohonan untuk menjadikannya tiga kali juga akan dipertimbangkan oleh Perbendaharaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, langkah penyasaran subsidi elektrik yang sebelum ini menimbulkan keresahan turut memberi manfaat kepada 85 peratus pengguna, dengan kos ditanggung kerajaan mencecah RM4 bilion.
“Saya gunakan mesej Hari Kemerdekaan ini supaya kita terima kritikan, saranan, tapi jangan kita nafikan apa yang kita sudah lakukan. Belum cukup kalau tidak, kita hanya mengeluh, membebel tetapi tidak bersyukur,” katanya.
Menurut Anwar, antara contoh lain ialah bantuan yang memberi manfaat kepada hampir semua golongan M40 dan T20 menerusi BUDI95 dan subsidi diesel, yang membabitkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM40 bilion.
Katanya, perbelanjaan berkenaan akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat, selain peruntukan kepada semua negeri turut meningkat di bawah Kerajaan MADANI, termasuk negeri yang sebelum ini tidak mahu mengakui hakikat berkenaan.
Di peringkat akar umbi, beliau berkata, pelbagai inisiatif seperti Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Sejati MADANI turut diperkasa.
Dalam majlis amanat itu, Perdana Menteri turut mengumumkan enam ikhtiar untuk rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2027, termasuk mengembalikan had kelayakan BUDI MADANI kepada 300 dan 400 liter.
Selain itu, beliau turut menaikkan peruntukan penyelenggaraan sekolah kepada RM1.5 bilion serta menyediakan program kecerdasan buatan (AI) secara percuma kepada rakyat.
Ikhtiar lain termasuk memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, menaikkan ambang e-Invois kepada RM3 juta serta menyediakan pembiayaan mikro dan Geran Sejahtera MADANI untuk peniaga kecil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







