Joey BPR selamat dikebumi, lebih 100 hadir beri penghormatan terakhir
AMPANG – Jenazah bekas vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Joey selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini pada pukul 5.50 petang tadi.
Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, 63, dikebumikan selepas urusan mandi dan solat jenazah disempurnakan di Masjid Ukay Perdana selepas solat Asar.
Pengebumian Allahyarham dihadiri lebih 100 ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan termasuk rakan-rakan artis yang datang memberikan penghormatan terakhir.

Antara selebriti yang hadir ialah Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Sahronizam, Safura Ya’cob, Rozita Rohaizat, Eddie Slam dan Datuk Aziz Bakar.
Bagaimanapun, tiga anggota kumpulan BPR yang kini menetap di Johor Bahru tidak sempat tiba di Ampang selepas terkandas dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan untuk menziarahi Allahyarham.
Joey menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 8.11 pagi tadi selepas doktor mengesahkan beliau mengalami pendarahan otak selain komplikasi jantung.
BACA JUGA:
Joey BPR meninggal dunia akibat serangan jantung
Isterinya, Zarinah Zainal, 60, sebelum ini memaklumkan suaminya rebah ketika menyampaikan lagu kedua pada program Laman Santai di Istana Budaya sekitar pukul 11 malam semalam sebelum dikejarkan mendapatkan rawatan.
Allahyarham yang berasal dari Johor mula mencipta nama dalam arena muzik apabila bergabung dengan rakan sekolahnya membentuk kumpulan rock atas inisiatif pemain gitar dikenali sebagai Awang.
Selain Joey, kumpulan itu turut dianggotai Yem Bai atau Abdul Rahim Mohd Zain dan Ibrahim Musa atau Yem C sebelum mereka mendapatkan khidmat pemain dram, Enal ketika berada di Kuala Lumpur.
Perjalanan BPR dalam industri muzik bermula selepas mereka bernaung di bawah syarikat milik kumpulan Blues Gang menerusi label Ito Productions, sebelum menghasilkan album sulung, Selamat Pagi Malaysia pada 1987.
Kumpulan berkenaan kemudiannya menghasilkan beberapa album lain termasuk Bisa terbitan M Nasir, Kelab Jiwa Luka, Era 90’an, BPR ’97, Akustik & Unplugged dan Semangat Melayu.
BPR turut mencipta nama sebagai antara kumpulan rock legenda tanah air menerusi lagu popular seperti Seribu Tahun Takkan Mungkin, Harum Subur Di Hati dan Dari Sinar Mata.
Terdahulu sehari sebelum pemergiannya, Joey sempat berkongsi pengalaman ketika berada di Istana Budaya menerusi hantaran di Facebook.
Allahyarham meluahkan rasa terharu dengan layanan yang diterimanya termasuk diberikan tempat letak kenderaan berhampiran tangga masuk serta kemudahan bilik utama.
“Dia kata santai, tapi lebih dari VIP. Very special treatment. Aku betul-betul terharu,” tulisnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








